Friday, August 19, 2016

PKR: Ku Nan dan Datuk Bandar perlu isytihar harta dulu

Ranjeet Muthukumar
August 19, 2016

PKR berkata pengisytiharan harta pegawai kerajaan sepatutnya sudah lama dilakukan dan bukan hanya sebagai reaksi tindakan SPRM.
PETALING JAYA: Sambil mengalu-alukan kenyataan supaya semua pegawai jabatan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan mengisytiharkan harta, PKR hari ini berkata ia perlu bermula dengan menterinya sendiri.

Ia susulan penangkapan seorang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergelar Datuk Seri oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu ini.

“Sebagai tanda komitmen kepada prinsip ketelusan dan urustadbir yang baik di KWP dan DBKL, saya menggesa agar Datuk Seri Tengku Adnan dan Datuk Seri Amin Nordin Abdul Aziz, Datuk Bandar Kuala Lumpur, menjadi contoh kepada para pegawai dengan mengisytiharkan harta mereka kepada rakyat Malaysia pada kadar segera,” kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fazil.

Fahmi bagaimanapun berkata gesaan pengisyiharan harta “agak terlambat”, merujuk penangkapan pegawai DBKL dan 2 lagi atas tuduhan memiliki aset mewah dan wang berjuta ringgit hasil rasuah.

“Sepatutnya proses penelitian semula pengisytiharan harta perlu dibuat dari semasa ke semasa, dan tidak menjadi reaksi menteri setelah berlakunya insiden besar seperti tangkapan SPRM ini,” katanya.

Tengku Adnan sebelum ini dilaporkan sebagai berkata pegawai DBKL yang ditahan SPRM seorang yang komited.

“Setakat yang saya tahu, pegawai itu menjalankan tugasnya dengan penuh iltizam. Dia dinaikkan dari Gred 54 ke Gred Khas C, dan kini berada di Gred B khas kerana cemerlang dalam tugas selain berpotensi tinggi.

“Itulah dia di tempat kerja… tetapi apa yang dia lakukan di luar daripada itu, saya tidak tahu,” kata Ku Nan.

Pegawai DBKL tersebut adalah salah seorang daripada 3 pegawai kanan kerajaan yang ditahan SPRM atas dakwaan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Dua yang lain bergelar Datuk ialah pegawai dari Jabatan Kerja Raya Melaka (JKR) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) Kelantan.

SPRM turut merampas kereta mewah, membekukan akaun bank dengan simpanan lebih RM13 juta, serta RM400,000 dalam bentuk wang tunai yang disembunyikan di atas siling rumah salah seorang suspek.

Tengku Adnan berkata kementeriannya menyerahkan kepada SPRM menjalankan siasatan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-