Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Saturday, August 27, 2016

Rakyat sudah jemu untuk berdemonstrasi, kata KDN

Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menghalang mana-mana pihak termasuk mahasiswa daripada mengadakan sebarang demonstrasi, kata timbalan menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed.

"Kita (KDN) tidak halang mereka, asalkan mereka mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, di mana penganjur harus meminta kebenaran daripada tuan punya tapak sebelum mengadakan perhimpunan.

"Jadi, tak salah jika mereka hendak berdemonstrasi, tetapi salah jika mereka tidak ikut undang-undang," kata beliau ketika diminta mengulas mengenai demonstrasi anti-kerajaan di ibu negara, hari ini.

Nur Jazlan berkata mereka seharusnya menghormati undang-undang negara kerana tindakan meneruskan demonstrasi tanpa kebenaran tuan punya tapak, seolah-olah bertentangan dengan apa yang mereka perjuangkan.

"Saya berharap anak-anak muda ini, dalam keghairahan mereka untuk menggunakan hak bersuara, jangan mereka angkuh dan tidak menghormati undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi 'lunch keynote' pada Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia 2016 anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia United Kingdom dan Eire (UKEC), hari ini.

Ketika ditanya kesan daripada demonstrasi itu, Nur Jazlan berkata tindakan mereka tidak akan mendatangkan hasil kerana demonstrasi jalanan bukanlah medium terbaik untuk melakukan perubahan.

"Rakyat sudah jemu untuk berdemonstrasi, saya rasa rakyat menunggu pilihan raya umum akan datang untuk membuat keputusan.

"...itulah cara demokrasi yang terbaik untuk menentukan kerajaan, bukannya dengan cara mengadakan demontrasi jalanan bagi menjatuhkan kerajaan," katanya.

- Bernama