Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Wednesday, August 3, 2016

'Ratu Naga' disoal SKKM kerana komen Rosmah 'manja, comel dan lucu'

Minderjeet Kaur

Dia mendakwa disoal hampir tujuh jam kerana muatnaik catatan pada gambar yang diambil dari majlis rumah terbuka PM
PETALING JAYA: Syarul Ema Rena Abu Samah, atau lebih dikenali sebagai ‘Ratu Naga’, berkata dia disoal siasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Bukit Aman kerana catatan Facebook menyentuh isteri Perdana Menteri Datin Seri Paduka Rosmah Mansor dan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Menceritakan kejadian itu, beliau mendakwa anggota polis masuk ke rumah pada jam 10 pagi Selasa dan menyoalnya lebih tiga jam berhubung catatan pada 30 Julai jam 11.21 malam yang berbunyi: “Nampak manja, comel dan lucu”.

Dia muatnaik catatan itu bersama gambar Rosmah dan Najib yang diambil di satu majlis rumah terbuka Hari Raya di Pekan, Pahang.

Perunding pembinaan berusia 35 tahun itu berkata pegawai turut menggeledah kenderaan, rumah dan barangannya.

“Cara mereka geledah rumah saya seolah saya seorang pembunuh,” katanya kepada FMT, dan menambah dia rasakan tidak ada apa yang salah dengan catatannya itu.

Dia tidak akan memadam komennya kerana catatan itu pandangan peribadinya terhadap Rosmah. “Apa salahnya mengatakan seseorang itu manja, comel dan lucu?” soalnya.

Selepas rumah digeledah dan disoalsiasat, Syarul Ema mendakwa dia diarah supaya hadir ke pejabat SKMM di Cyberjaya pada jam 3 petang dimana dia disoal selama empat jam.

“Mereka tanya mengapa saya muatnaik catatan itu. Saya jelaskan kepada mereka yang saya tak ada niat jahat. Saya tak tulis apa-apa yang jahat mengenai Sultan pun.”

Katanya dia diberitahu akan didakwa dibawah Akta SKMM dan menambah, “saya juga perlu beli telefon bimbit baru.”

Pada Februari tahun ini, Syarul Ema didakwa menghina perdana menteri dengan kata-kata kesat dalam satu catatan Facebook melalui profil ‘Ratu Naga’. Dia didakwa kerana menggunakan aplikasi rangkaian untuk membuat dan memulakan komen yang menggusarkan terhadap Najib berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di laman Facebook pada 6 Oktober 2015 jam 12.02 pagi.