Saturday, August 20, 2016

Tiga prinsip utama untuk UMNO, BN Kelantan menang PRU14 - Ahmad Zahid

 by Abdul Mursyid Zainuddin|
JELI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan tiga prinsip utama untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Kelantan menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ahmad Zahid berkata, tiga prinsip yang perlu diamalkan oleh seluruh kepimpinan UMNO dan BN Kelantan itu ialah memenangi hati dan minda rakyat, elakkan budaya ‘cah keting’ (mencantas) dan jangan bersikap berkabilah (berpuak-puak).

“Kita mesti mendekati rakyat supaya hati dan minda mereka sayang kepada kepimpinan, mereka (rakyat) sayang kepada UMNO tetapi mereka benci perangai sesetengah pemimpin yang pentingkan diri sendiri dan tidak menunaikan amanah dengan baik,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jeli di Pusat Dakwah Jeli, Pondok Moden di sini hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata pemimpin di semua peringkat perlu ‘turun padang’ menemui rakyat pada setiap waktu dan bukannya bermusim terutama menjelang pilihan raya.

Kata beliau, ‘cah keting’ atau menikam dari belakang telah menyebabkan UMNO Kelantan menjadi lemah kerana ia tercetus daripada rasa kecemburuan politik yang menebal dalam kalangan pemimpin apabila melihat kejayaan rakan mereka.

“Jangan ada sikap nak cah keting, ini budaya lama dan (UMNO) di bawah kepimpinan (Presiden UMNO) Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang tidak ada chah keting, dan budaya ini perlu diketepikan,” katanya.

Beliau juga mahukan anggota dan pemimpin UMNO Kelantan mengenepikan sikap ‘duri dalam daging’ yang boleh merosakkan kesaksamaan dan keakraban dalam kalangan mereka.

Ahmad Zahid juga tidak mahu wujud kabilah atau berpuak-puak dalam UMNO Kelantan sebaliknya beliau mahu seluruh pemimpin saling percaya mempercayai dan bekerja dalam sebuah pasukan.

Jelas beliau, UMNO Kelantan perlu sedar bahawa sikap buruk telah menyebabkan mereka menjadi lemah dalam tempoh lama iaitu 26 tahun sejak PAS memerintah negeri ini pada 1990.

Beliau percaya, sekiranya mereka dapat melaksanakan semua prinsip ke arah kebaikan dan kemenangan, UMNO dan BN akan kembali memerintah negeri ini.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri kira-kira 8,000 orang itu ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang juga Ketua UMNO Bahagian Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

 – BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-