Friday, August 19, 2016

Umno mesti dikebumikan jika gagal pertahan Raja-raja Melayu

ULASAN l  Ahli Parlimen Langkawi, Nawawi Ahmad melakukan penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong apabila memfitnah, menghina dan mengheret nama suci Seri Paduka dengan skandal rasuah 1MDB.

Dengan mencadangkan bahawa MO1 (Malaysian Official 1), pegawai korup yang disebut dalam prosiding Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika, adalah Agong, beliau melakukan fitnah jenayah.

Kedudukan Agong adalah paling tinnggi dalam institusi negara mengikut perlembagaan persekutuan.

Oleh itu, semua rakyat Malaysia perlu bangkit untuk menuntut supaya peguam negara (AG) mesti menunjukkan semangat yang sama dalam mempertahankan dan melindungi institusi ini sebagai AG lakukan dalam membersihkan Najib Razak daripada dakwaan rasuah berhubung dengan skandal 1MDB.

Saya telah dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan kemudian sebagai timbalan presiden Umno kerana menimbulkan skandal ini, kerana mahu Umno dan kerajaan bersikap telus mengenai perkara ini.

Dengan pemecatan saya, Najib fikir rasuahnya boleh disembunyi di bawah permaidani.

Tetapi DOJ kemudian membuat tuduhan setebal 136 muka surat terhadap penyelewengan dana 1MDB.

Dokumen mahkamah menunjukkan tanpa keraguan bahawa firma dana pelaburan negara itu dijarah oleh seorang pegawai kerajaan yang korup dan dirujuk sebagai MO1. Penerangan yang cukup diberikan mengenai siapa itu MO1 ini.

Adalah menjijikan bagi rakyat menyaksikan institusi-institusi kerajaan yang bertanggungjawab untuk memantau, menyelia dan menyiasat dilumpuhkan.

Adalah sesuatu yang memalukan bagi orang Melayu-Islam bahawa tidak ada mufti negeri dan ulama kerajaan berani mengulas mengenai skandal ini walaupun Islam menuntut Amr Ma'ruf Nahy Mungkar.

Adalah jelik melihat ahli akar umbi Umno tidak mampu memperbetulkan Majlis Tertinggi dan kepimpinan tertinggi.

Dan hanya semata-mata untuk membela tidak lagi dapat dibela, ahli pParlimen Langkawi mengheret dan melumurkan kesucian institusi raja-raja Melayu dengan skandal ini dengan mencadangkan bahawa MO1 adalah Agong.

Begitu sekali wakil rakyat Umno sedia tunduk dalam mempertahankan presiden parti. Bagaimana ini boleh berlaku kepada parti keramat orang Melayu ini?

Apabila kita melihat pemimpin Umno dan ahli politik berkelakuan sedemikian, kita mesti menerima hakikat bahawa Umno tidak lagi dapat diselamatkan.

Umno tidak mungkin diselamatkan jika parti itu tidak mampu menyingkirkan pemimpin yang korup.

Umno mesti dikebumikan jika ia tidak dapat mempertahankan institusi raja tetapi lebih mementingkan mempertahankan presiden dan kini seorang ahli politik kerdil boleh menghina Seri Paduka tanpa sebarang tindakan.

Laporan polis telah dibuat berhubung fitnah itu oleh pengasas BERSATU, Anina Saadudin.

Terpulang kepada polis untuk mengambil tindakan.

Pejabat Peguam Negara pernah dan sedang mendakwa penulis blog, kartunis, peguam dan pemimpin pembangkang kerana menghasut dan di bawah Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Jabatan Peguam Negara kini perlu menggunakan undang-undang sama ke atas ahli parlimen Langkawi.

Tidak kurang pentingnya adalah untuk menamakan siapa sebenarnya adalah MO1.

Ini adalah supaya memastikan tidak ada individu lain pula yang tampil dan memfitnah Yang di-Pertuan Agong seperti yang dilakukan oleh ahli parlimen Langkawi mahupun ahli politik lain yang cuba mencari publisiti murahan. Fitnah seumpama ini mesti dihentikan.

Saya kata dengan jelas bahawa MO1 adalah Najib Razak. Beliau adalah penyangak yang dirujuk dalam pemfailan mahkamah DOJ.

Oleh kerana saya pasti yang diri saya adalah betul, saya meminta ahli Umno untuk memikirkan sama ada orang seperti ini yang mereka mahu sebagai pemimpin parti mereka.

Saya meminta rakyat Malaysia menjawap sama ada pemimpin ini yang mereka mahu sebagai perdana menteri dan memimpin negara ini?

Kita mesti menamatkan kekejian ini dan mengembalikan kebenaran serta keadilan. Saya minta semua rakyat Malaysia untuk bersatu dalam mencapai matlamat ini.

MUHYIDDIN YASSIN adalah bekas timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-