Tuesday, August 30, 2016

Zahid minta Muhyiddin beri bukti, bukan sekadar khabar angin

Bernama
August 29, 2016

Jangan buat dakwaan berdasarkan khabar angin, kata timbalan perdana menteri itu.
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pendahulunya Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan bukti berhubung dakwaannya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memiliki hampir RM1 bilion dalam akaun bank peribadinya.

Beliau juga menyelar Muhyiddin kerana membuat kenyataan tidak berasas berdasarkan khabar angin.

“Minta dia berikan bukti jika dia ada. Dia menuduh perdana menteri kita, jadi dia mesti menunjukkan bukti.

“Jangan buat dakwaan berdasarkan khabar angin,” katanya ketika diminta mengulas satu laporan Muhyiddin mendakwa hampir RM1 bilion sudah ada di dalam akaun bank peribadi perdana menteri malah sebelum kontroversi yang dilaporkan secara meluas mengenai RM2.6 bilion.

Menurut laporan itu, Muhiyiddin berkata beliau difahamkan mengenai simpanan itu sebelum daripada sumbangan yang dikatakan daripada Arab, daripada bekas peguam negara ketika itu Tan Sri Abdul Gani Patail.

Zahid bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat kerjasama keselamatan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan di sini hari ini.

Mengenai keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini, Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata keputusan mahkamah perlu dihormati.

Mahkamah Rayuan memutuskan perintah menteri dalam negeri untuk mengharamkan penggunaan kemeja T kuning Bersih dan risalah berkaitan dengan perhimpunan Bersih itu tidak munasabah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-