Tuesday, August 23, 2016

Zam: MCA sudah mati, tetapi Umno belum sedar

FMT Reporters
August 23, 2016

Zainuddin berkata usaha Najib memburukkan kerjasama Dr Mahathir dengan DAP bakal menjadi senjata makan tuan, kerana tidak sedar DAP menggantikan MCA sebagai wakil orang Cina.
PETALING JAYA: Tan Sri Zainuddin Maidin berkata Umno masih buta dan berada dalam sindrom penafian mengenai status rakan komponennya MCA, Gerakan dan MIC yang menurutnya hanya menunggu masa dikuburkan pada pilihan raya umum akan datang.

Menulis di blognya, bekas menteri penerangan itu berkata kehadiran ramai perwakilan dalam perhimpunan agung parti komponen itu tidak bererti orang Cina sudah mula kembali kepada MCA.

Zainuddin, juga dikenali Zam, turut mempersoalkan pemimpin MCA yang tidak mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga presiden Barisan Nasional (BN) kerana takut tindakan itu akan menjauhkan lagi masyarakat Cina daripada MCA.

Zainuddin berkata MCA menjadi rakan Umno sejak sebelum merdeka tetapi mereka ialah duri dalam daging kerana perkauman Cinanya terserlah bila Umno dalam keadaan lemah, malah dalam pilihan raya lalu MCA turut bermain dengan isu popular dimainkan DAP.

“Selain tekanan orang Cina, pada PRU14 nanti, bukan generasi baharu Melayu saja yang menentang Umno tetapi ramai golongan pertengahan umur dan orang tua-tua Melayu atau penyokong lama Umno yang kecewa dengan Najib dan Rosmah menunggu masa untuk membuktikan kesetiaan mereka kepada Tun Dr Mahathir Mohamad,” tulisnya.

Zainuddin berkata usaha Najib memburukkan kerjasama Dr Mahathir dengan DAP bakal menjadi senjata makan tuan.

Ini kerana katanya, Najib tidak sedar DAP sedang menggantikan MCA sebagai wakil orang Cina menerusi pakatan dengan parti baharu Dr Mahathir, walaupun ia cuba menggambarkan dirinya mewakili semua kaum.

Katanya, agenda memburukkan Dr Mahathir sedikit sebanyak menyebabkan berlakunya timbal balik, yang secara tidak langsung menimbulkan simpati lebih besar kepada bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu.

“Umno mengutuk Dr Mahathir habis-habisan sebagai pengkhianat bangsa dan agama kerana sanggup bekerjasama dengan DAP tetapi melupakan hakikat PAS yang merapatinya sekarang pernah bergabung dengan DAP untuk membunuhnya.

“Dr Mahathir tahu dia tidak akan menarik ahli Umno ke partinya tetapi ramai penyokong senyapnya berada dalam Umno selain yang atas pagar. Ahli Umno yang akan berpecah belah kerana perebutan kerusi calon menjelang pilihan raya juga akan menyokong parti baharu ini. Pada ketika itu Najib akan sedar wang bukan lagi raja,” tulisnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-