Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Tuesday, September 13, 2016

5 jemaah haji Malaysia tidak dapat laksana wukuf

Lima jemaah haji Malaysia tidak dapat melaksanakan ibadat wukuf berikutan masalah kesihatan yang serius.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata semua mereka berusia antara 39 tahun dan 87 tahun, membabitkan empat lelaki dan seorang wanita.

"Mereka mengalami masalah pernafasan dan pendarahan otak. Mereka kini menerima rawatan rapi di hospital Arab Saudi," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) Syisyah, di Makkah, hari ini.

Jamil Khir berkata, TH memberi jaminan semua pesakit itu akan diberikan keutamaan untuk mengerjakan ibadat haji sekali lagi pada masa hadapan.

Selain itu, Jamil Khir berkata, jumlah kematian jemaah haji negara yang direkodkan sehingga hari ini adalah 10 orang.

Daripada jumlah itu tujuh kematian itu berlaku di Makkah, dua ketika di Madinah, manakala seorang ketika di tanah air.

Katanya, kematian terbaharu dilapaorkan semalam membabitkan seorang lelaki yang meninggal dunia ketika mabit di Muzdalifah.

Penerbangan pulang haji bermula Sabtu ini

Pada sidang media itu, beliau juga memberitahu wartawan bahawa penerbangan pertama yang membawa pulang jemaah haji Malaysia dijadualkan, Sabtu ini.

Jamil Khir, berkata mereka terdiri daripada 450 jemaah haji melalui penerbangan KT02.

"Semua jemaah haji pertama itu akan berlepas dengan penerbangan Saudi Arabia SV5644.

"Mereka akan berlepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah ke Kuala Lumpur pada jam 10 malam waktu tempatan (3 pagi, Ahad waktu Malaysia)," katanya.

Seramai 22,320 jemaah haji negara menunaikan haji pada musim haji kali ini.

- Bernama