Tuesday, September 6, 2016

Agama tidak larang tugu, kata pakar seni bina Islam

Aedi Asri
September 6, 2016

Pensyarah jurusan arkitek itu turut menasihati golongan agamawan berhati-hati mengeluarkan kenyataan mengenai hal di luar bidang mereka.
PETALING JAYA: Larangan terhadap hasil seni seperti tugu dan patung hanya bermula dalam dunia Islam pada satu tempoh tertentu, kata seorang ahli akademik Profesor Tajuddin Rasdi, susulan pihak berkuasa agama yang mahu beberapa mercu tanda berupa tugu dirobohkan kononnya kerana “haram”.

Tajuddin, yang mengajar jurusan arkitek dengan pengkhususan mengenai seni bina Islam di Universiti UCSI, Kuala Lumpur, berkata larangan sedemikian tidak timbul pada era awal Islam dan ini diserlahkan melalui hasil seni yang masih kekal di negara yang pernah ditakluk empayar Islam.

“Kajian Oleg Grabar menyatakan larangan ini timbul pada satu tempoh tertentu. Sebelumnya tidak timbul isu,” katanya kepada FMT, memetik pakar sejarawan seni Islam tersohor.

Semalam, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata pembinaan tugu adalah haram, selepas timbalannya Zamri Hashim mempersoalkan kewajaran mengekalkan tugu helang yang menjadi mercu tanda Pulau Langkawi.

“Dari awal dulu lagi kita tak bersetuju (dengan pembinaan Tugu Negara) kerana kita adalah negara Islam. Kenapa kita nak memuja tugu?

“Tugu berbentuk manusia pula adalah haram,” katanya dipetik Malaysiakini.

Tajuddin berkata Islam hanya larangan tugu berupa berhala kerana ia disembah.

“Sebab itu ada hasil kesenian di negara yang menjadi taklukan empayar Islam ketika itu tidak dimusnahkan,” katanya.

Beliau menjelaskan, seni visual adalah kaedah komunikasi yang penting termasuk untuk tujuan dokumentasi dan pembelajaran.

“Kita perlu lihat balik sejarah. Bagaimana keadaan zaman silam didokumentasikan? Misalnya lukisan Parsi dan patung di gereja.

“Ada juga lukisan yang menunjukkan pakaian orang Melayu ketika zaman dahulu. Jika (seni visual seperti ini) dilarang, hari ini kita tidak akan tahu tentang semua itu,” katanya lagi.

Agamawan perlu merendah diri

Tajuddin berharap golongan agamawan tidak mengeluarkan kenyataan dalam hal di luar bidang mereka, sebaliknya merujuk pakar terlebih dahulu.

“Orang berilmu sepatutnya lebih tawadduk dan hanya bercakap apa yang dia tahu, dan mengakui dia lebih banyak tidak tahu berbanding tahu,” katanya yang kerap menulis artikel sosial dan politik.

Beliau memetik kisah Nabi Musa seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Kahf yang dimurkai Tuhan selepas mengakui tiada sesiapa yang lebih tahu daripadanya, lalu berguru dengan Nabi Khidir.

“Golongan agama perlu mengambil contoh Nabi Musa dan Nabi Muhammad. Jika tidak tahu, jangan segan bertanya.

“Jika mahu berperanan dalam negara moden seperti Malaysia, mereka perlu tawadduk dan meminta pandangan daripada mereka yang pakar sebelum mengeluarkan pandangan yang membabitkan orang ramai,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-