Tuesday, September 6, 2016

Anwar tidak hebat sejak di dalam penjara - Lokman Adam

by admin-s
(Astro Awani) – “Maknanya usaha Tun M ini sia-sia. Kehadirannya ke mahkamah dan sanggup membuang ego tiada hasilnya kerana Anwar sendiri sudah tidak mampu menyatukan pembangkang”

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu sedar kemampuan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tidak sehebat semasa bekas Ketua Pembangkang itu berada di luar penjara satu masa dahulu.

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Lokman Noor Adam berkata Anwar sekarang sudah tidak lagi mampu menyatukan blok pembangkang selain pertemuan itu dianggap hanya sia-sia.

Tegasnya, Dr Mahathir yang terkenal dengan keegoannya juga kini hilang segala-galanya apabila memberi sokongan kepada individu yang pernah digelar peliwat dan pengkhianat negara.

“Saya hendak ingatkan Tun Mahathir bahawa Anwar pada PRU ke-13 dan sekarang sangat beza, Anwar di luar penjara dahulu lebih hebat daripada di dalam penjara.

“Semasa Anwar dibebaskan dahulu, dia berjaya menyatukan DAP, PAS dan PKR, tetapi apabila dia dipenjarakan, PAS tidak lagi bersama Pakatan Harapan.

“Maknanya usaha Tun M ini sia-sia. Kehadirannya ke mahkamah dan sanggup membuang ego tiada hasilnya kerana Anwar sendiri sudah tidak mampu menyatukan pembangkang,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Lokman mengulas kemunculan Dr Mahathir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin untuk menghadiri pendengaran kes permohonan yang difailkan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Pertemuan di antara dua tokoh politik itu adalah yang pertama sejak 18 tahun.

Dalam pada itu, Lokman mengakui terkejut dengan tindakan terdesak Dr Mahathir yang memberi sokongan kepada Anwar demi merealisasikan hasratnya menjatuhkan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ada beberapa sebab Tun Mahathir ambil keputusan hendak jumpa Anwar. Tun Mahathir sedar untuk parti barunya menyaingi UMNO, ia perlu dilakukan dengan mengadakan pertandingan satu lawan satu dan Tun Mahathir sedar pembangkang tidak 100 peratus menerimanya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Lokman melihat kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia akan memastikan kemenangan dua pertiga Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-14 kelak.

“Saya tahu kerana pernah berada bersama pembangkang ketika dalam perbincangan pengagihan kerusi. Perkara yang sama akan dilalui Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, mereka perlu yakinkan rakyat untuk mengganti UMNO.

“Mereka perlu bertanding kerusi yang mencukupi lebih daripada PKR, DAP, Amanah atau Pas. Apabila Pribumi meminta kerusi lebih, percakaran sesama mereka akan menjadi klimaks dan perpecahan mereka menyebabkan BN kembali memerintah negara dengan majoriti dua pertiga,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-