Friday, September 16, 2016

Ayuh, pilihan di tangan anda rakyat Malaysia!

RAZIATUL HANUM A.RAJAK



Muhyiddin Yassin. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
SHAH ALAM – Rakyat berhak untuk menentukan tampuk pemerintahan negara dan pilihan itu mestilah dibuat bersandarkan kepada keupayaan pentadbiran yang beramanah dan berintegriti.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, oleh itu rakyat berkuasa untuk menukar kerajaan yang tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.

“Sebaliknya, jika kerajaan tidak melaksanakan kewajipan dan tanggungjawabnya terhadap rakyat, maka rakyat mempunyai pilihan untuk tidak lagi memberikan mandat kepada kerajaan yang sama untuk mentadbir negara.

"Tiada gunanya kita menyerahkan amanah kepimpinan kepada mereka yang pecah amanah,” katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Malaysia ke-53 esok.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, kerajaan baharu yang bakal dibentuk itu nanti mestilah meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya.

“Keutamaan hendaklah diberikan kepada usaha untuk memulihkan ekonomi negara, menyediakan peluang-peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat, meringankan beban kos sara hidup, melaksanakan reformasi institusi dan mengurus negara secara beramanah dengan berpandukan prinsip tadbir urus yang baik.

“Pilihan ini berada di tangan rakyat. Kuasa rakyatlah yang akan menentukan masa depan negara kita. Sama ada kita mahu Malaysia menjadi sebuah negara yang berjaya dan sejahtera atau sebuah negara yang gagal dan kacau bilau, segalanya terserah kepada kuasa rakyat,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh lebih lima dekad pembentukan Malaysia, negara ini mencapai keamanan dan keharmonian berkat komitmen serta usaha gigih rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama dalam menyumbang tenaga serta kepakaran untuk memajukan negara.

“Tetapi kini, Malaysia berhadapan dengan suatu krisis yang parah. Kos sara hidup rakyat kian meningkat, harga barangan keperluan harian semakin mahal, nilai ringgit rendah dan pendapatan rakyat terjejas dengan suasana ekonomi yang suram.

“Dalam keadaan ini, rakyat amat berharap kerajaan tampil membantu meringankan beban ditanggung. Mereka mahukan pekerjaan dengan pendapatan setimpal, harga barangan keperluan harian berpatutan, pendidikan berkualiti, biasiswa dan bantuan pendidikan untuk anak-anak, rumah yang mampu dimiliki, pertumbuhan ekonomi yang rancak dan paling penting kehidupan yang selesa.

“Namun, sepertimana yang diketahui ramai, kerajaan hari ini sedang bergelumang suatu krisis kepimpinan yang parah sehinggakan tidak berupaya untuk membantu menyelesaikan permasalahan rakyat” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-