Tuesday, September 13, 2016

Belasungkawa Fadzlan Yahya: Hilangnya permata Perak

IPOH, 13 SEP:  Tokoh pemimpin Melayu DAP Perak, Fadzlan Yahya meninggal dunia semalam, dan selamat dikebumikan di Ipoh hari ini pada usia 66 tahun.

Allahyarham Fadzlan merupakan Adun Pasir Berdamar untuk dua penggal berturut-turut setelah memenangi kerusi tersebut dalam pilihanraya umum ke-6 pada tahun 1982. Kerusi tersebut dimenangi sekali lagi dengan 10,845 undi pada tahun 1986.

Arwah kemudiannya memenangi kerusi DUN Lahat, juga di Perak pada tahun 1990.

Terkenal sebagai seorang pemidato yang hebat di zamannya, Fadzlan Yahya turut pernah menganggotai Jawatankuasa Kerja Pusat DAP antara tahun 1980 sehingga 1992 serta memegang amanah sebagai Naib Pengerusi DAP dan Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY).

Anak kelahiran negeri Perak ini mula bersekolah darjah satu di Taiping. Selepas itu, beliau berpindah ke beberapa tempat termasuk Beruas dan Sungai Lapam. Beliau kemudian berpindah ke Kampar sebelum kembali semula ke Beruas dan pindah semula ke Taiping.

Di Taiping arwah Fadzlan selesai pengajian sampai tingkatan lima. Pada tahun 1973, beliau menyertai Universiti Sumatera Utara dalam pengajian Sosial Politik. Selepas lebih kurang setahun di sana, beliau menyambung pengajian di Universiti Gadjah Mada pada tahun 1974.

Arwah meninggalkan politik pada tahun 1995, ekoran kesihatannya yang kian merosot, sejurus selepas DAP menerima kekalahan teruk pada pilihanraya umum tahun 1995.

Bercakap kepada Roketkini, rakan seperjuangannya ketika bergiat bersama DAPSY, William Tan menyifatkan Almarhum sebagai seorang yang sangat bersemangat dalam memperjuangkan sebuah memperjuangkan masyarakat yang adil dan saksama.

“Fadzlan adalah seorang Melayu pendiri Malaysian First,” ujar beliau yang bertindak sebagai bendahari ketika Fadzlan menjadi Ketua DAPSY.

“Beliau sangat bersemangat dan pidatonya sangat berkesan,” tambahnya.

Ketika ditemui Roketkini awal tahun ini, arwah Fadzlan sempat menceritakan tentang bagaimana beliau digantung pada hari pertama melangkah masuk ke Dewan Undangan Negeri Perak sebagai Adun Pasir Bedamar.

Speaker DUN ketika itu, Shamsuddin Din, mengarahkan beliau keluar dari dewan. Sebagai protes, beliau menghadiahkan bunga warna putih kepada Speaker – sebagai simbolik bahawa dalam dewan itu demokrasi telah mati. Pada hari sama, ketika sesi rehat, Speaker dikejarkan ke hospital kerana serangan sakit jantung.

Ikuti wawancara penuh bersama Allahyarham Fadzlan Yahya dalam akhbar The Rocket edisi Bahasa Malaysia, keluaran bulan Oktober.

 – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-