Tuesday, September 6, 2016

BN Perak jangan putar belit fakta statistik negeri kedua termiskin

IPOH, 6 SEP: Kerajaan Barisan Nasional negeri Perak diminta berhenti memutar belit laporan kajian yang dijalankan Khazanah Research Institute (KRI) yang mendapati negeri itu menduduki tempat kedua sebagai negeri termiskin di Malaysia.

Sebaliknya, mereka perlu segera mengumumkan dasar dan rancangan kerajaan negeri untuk meningkatkan paras pendapatan rakyat Perak supaya rakyat bebas daripada belenggu kemiskinan.

Pakatan Harapan Perak, dalam satu kenyataan bersama, berkata walaupun kerajaan Barisan Nasional (BN) Perak berasa marah dan tidak berpuas hati dengan pendedahan Khazanah Institute itu, namun, ia tidak akan sedikitpun mampu mengubah nasib malang rakyat negeri ini.

“Laporan tersebut adalah berasaskan kepada maklumat rasmi yang diperolehi dari Jabatan Stastistik, Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri untuk tempoh sehingga 2015.
“Walaupun kerajaan BN cuba menutup kelemahan dengan mendakwa mereka berjaya mengurangkan paras kemiskinan dalam negeri Perak, tetapi semua pihak perlu sedar takrifan kemiskinan yang ditetapkan oleh BN untuk menipu rakyat adalah bagi keluarga miskin tegar,” kata kenyataan itu.

Kenyataan ini antara lain menjawab kenyataan Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abd Kadir yang mendakwa laporan KRI itu memberi gambaran tidak baik terhadap perkembangan negeri Perak sambil menafikan Perak sebagai bukan negeri dalam kelompok termiskin.

Pengerusi BN Perak itu kemudian berhujah bahawa ketetapan untuk mengukur sesebuah negeri termiskin adalah berdasarkan garis pendapatan yang ditetapkan iaitu garis pendapatan miskin tegar sebanyak RM580 manakala RM940 pula bagi kategori miskin.

“Ia bererti keluarga berpendapatan kurang dari RM520 sebulan dan keluarga miskin pula RM830, ini adalah satu paras ukuran yang tidak masuk akal dan tidak bertapak di atas bumi yang nyata,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, penjelasan kerajaan negeri bahawa Perak mengalami pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 37.07 peratus dalam tempoh lima tahun adalah meleset dan tidak berasas sama sekali.

“Kenyataan kerajaan negeri itu jika benar, bererti Perak mengalami pertumbuhan ekonomi tahunan lebih 7.41 peratus secara purata yang mana jelas adalah satu pembohongan.

“Dari segi penarikan pelaburan asing, atau FDI, Perak juga menduduki tangga bawah di kedudukan sembilan, satu pencapaian yang cukup hambar,” jelas kenyataan itu.
Selain kedudukan kedua termiskin, laporan KRI itu juga menunjukkan pendapatan purata seisi keluarga negeri itu yang parah berdasarkan kepada pendapatan purata seisi keluarga yang menduduki tangga ketiga paling bawah.

“Harus diperhatikan semua negeri miskin adalah ditadbir oleh BN dan PAS sementara negeri Pulau Pinang dan Selangor yang diurus oleh Pakatan Harapan mempunyai prestasi yang jauh lebih baik, iaitu menduduki tempat ketiga dan ketujuh,” ujar kenyataan itu.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa 21.3 peratus keluarga di Perak hanya memperoleh pendapatan kurang dari RM2,000 sebulan dan 40 peratus keluarga di Perak mempunyai pendapatan kurang dari RM3,000 sebulan manakala kurang dari 20 peratus, iaitu 18.9 peratus keluarga berpendapatan lebih dari RM6,000 sebulan.

Laporan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri juga menunjukkan di bawah BN, Perak juga merupakan negeri yang mempunyai paling ramai keluarga miskin yang berpendapatan kurang dari RM2,380 sebulan, iaitu sejumlah 122,000 buah keluarga di Perak diletakkan dalam kategori ini. 

Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-