Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Tuesday, September 27, 2016

Kerjasama PAS-UMNO bawa manfaat kepada Melayu, Islam: Muafakat

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Ismail Mina Ahmad berkata, kualiti perpaduan di kalangan masyarakat Melayu dan Islam dalam negara ini akan bertambah baik sekiranya PAS dan UMNO menjalinkan kerjasama politik dengan lebih serius secara rasmi.

Beliau berkata, sekiranya kedua-dua parti ini melaksanakan kerjasama sedemikian, ianya dapat merealisasikan apa yang tertulis dalam perlembagaan kedua-dua parti tersebut.

Beliau merujuk kepada Rang Undang-undang (RUU) 355 yang tidak pernah berjaya untuk dibahaskan ke dalam Parlimen sebelum ini, namun akhirnya bakal dibentangkan, setelah kerjasama dibuat oleh PAS dan UMNO, meskipun tidak secara rasmi.

“Perlembagaan UMNO dan PAS sama-sama mahu menegakkan Islam. Dan mereka ini adalah dua gergasi orang Melayu.

“PAS dan UMNO tempat harapan orang Melayu dan Islam. Mereka kena kembali kepada falsafah politik dalam konteks Malaysia. Sekiranya PAS dan UMNO dapat bersama, banyak agenda ummat yang belum dapat dibuat, boleh dibuat.

“RUU 355 (salah satu) contohnya, saya harap mereka meneliti pemikiran arwah Datuk (Haron) Din, semua kepimpinan ilmu, kepimpinan masyarakat dan kepimpinan politik (beliau). Semuanya berkaitan kerja dakwah,” katanya yang dipetik daripada Antarapos.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perkara ini sepatutnya tidak menimbulkan persoalan kerana kedua-dua parti yang berpengaruh di kalangan pengundi-pengundi Melayu ini pernah bersama-sama dalam kerajaan Malaysia.

Sejarah kedua-dua parti ini membuktikan bahawa PAS berpengalaman bersama-sama dengan Barisan Nasional pada 1972 ketika Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Namun, ianya berakhir pada 1978 setelah Tun Hussein Onn memecat PAS daripada Barisan Nasional ekoran tindakan PAS memecat Datuk Muhammad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan.

Malah katanya, ketika Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor menjadi pemimpin parti itu, sudah ada perbincangan tentang kerjasama itu

“Soal PAS didakwa menjadi barua UMNO, PAS diperalat oleh UMNO, saya dengar. Jadi soal perpaduan dengan UMNO, bukan benda baru.

“Di zaman arwah Fadzil Noor, sudah ada percakapan tentang kerja sama dengan UMNO. Sebelum itu pun PAS pernah berada dalam kerajaan bersama dengan UMNO. Ini politik.

“Ini bukan baru di dalam PAS. Jadi kenapa nak ditakut sangat? Saya sangat-sangat bersetuju kerjasama PAS dengan UMNO, benda ni pernah dibuat. Falsafahnya ialah dalam konteks ini ialah perpaduan Ummah dalam prinsip Islam. Inilah yang diperjuangkan PAS sejak lama dulu,” katanya.