Tuesday, September 20, 2016

Malaysia wajar gantung semua kerjasama dengan UNESCO

Kerajaan Malaysia harus menggantung semua kerjasama dengan The United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) sehingga Ketua Pengarahnya, Irina Bokova memohon maaf secara terbuka dan memberi penjelasan yang masuk akal dalam kontroversi membabitkan isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menteri Pelajaran Malaysia juga perlu menggantung sementara pejabat Unesco Malaysia yang berada di bawah pembiayaan Kementerian Pelajaran Malaysia. Beranikah Datuk Seri Mahadzhir Khalid melakukan?
Tindakan Irina Bokova menjemput Datin Seri Rosmah mengambil anugerah penghormatan khas pada satu majlis yang dianjurkan bersama oleh UNESCO pada 22 September 2016 tetapi kemudiannya membatalkan, hanya kerana pertanyaan Wall Street Journal dan The New York Times mengenai pembiayaan PERMATA, adalah sesuatu yang kurang ajar.

Unesco sebagai sebuah pertubuhan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertanggungjawab ke atas keilmuan dan ketamadunan tidak menunjukkan sikap organisasi yang bertamadun apabila menarik balik jemputan yang telah tersebar hanya kerana pertanyaan media tertentu.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, pada 18 September 2016, Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menerima satu e-mel daripada Profesor Tudor Parfitt, Pengerusi Lembaga Penasihat Akademik Jawatankuasa Penganjur Penghormatan Kepada Wira-wira Dalam Kempen Global Menentang Keganasan. Profesor Parfitt menyatakan bahawa anugerah itu akan ditangguhkan ke 2017 kerana apa yang beliau kenali sebagai “campur tangan” dari Wall Street Journal dan The New York Times mengenai pembiayaan PERMATA.

Unesco perlu memberi penjelasan yang lebih wajar apakah anugerah tersebut diberi secara semberono atau melalui penilaian wibawa. Jika melalui penilaian wibawa mengapa hanya kerana ditimbulkan isu oleh media mereka tidak berani mempertahankan keputusan awal mereka.

Jika anugerah semacam ini pun gagal dikawal selia dengan baik oleh Unesco dan boleh ditarik balik saat akhir, apakah Unesco masih ada kredebiliti menjaga dan melindungi warisan dunia?

Apakah layak Unesco menjadi agensi yang mengawasi dan melindungi warisan kebudayaan dunia apabila mereka sendiri “MENGHINA” isteri seorang ketua kerajaan negara berdaulat? Apakah hal yang sama akan Unesco lakukan jika ia membabitkan isteri Presiden US?

Ini bukan soal besar atau kecil anugerah tersebut. Ia bukan soal relevan atau tidak anugerah tersebut kepada kehidupan rakyat Malaysia.

Ia bukan soal batang tubuh Rosmah Mansor.

Ini soal penghinaan kepada negara yang tidak sewajarnya dilakukan oleh sebuah badan yang menjaga ketamadunan dunia.

MYKMU.NET

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-