Thursday, September 29, 2016

Mat Sabu dakwa konon dirinya hero parti Islam?

KUALA LUMPUR – “Saya berpengalaman mengembangkan parti Islam lebih daripada 38 tahun,” tegas Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu.

Justeru, beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu meminta ahli PAN tidak bimbang dengan analisa parti itu tidak akan bertahan lama.

Malah, beliau mendakwa PAN adalah sebuah parti Islam yang bersifat ideologi, kontemporari dan inklusif akan dapat bertahan dan terus berkembang walaupun tewas dalam pilihan raya.

“Sekarang (saya) memimpin PAN bersama rakan-rakan yang lain. Saya melihat perkembangan PAN jauh lebih cepat diterima rakyat terutama di negeri-negeri sebelah selatan.

“Inilah kehendak dan tuntutan umat sekarang ini sama ada orang Islam atau bukan Islam. Pendukung PAN jangan rasa ragu dan bimbang terhadap analisa sementara oleh berbagai pihak,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

PAN ditubuhkan oleh Mat Sabu dan beberapa bekas pemimpin PAS yang disingkirkan pada tahun lalu kerana dilihat terlalu taksub kepada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

PAN kemudian menyertai Pakatan Harapan yang diwujudkan oleh DAP dan PKR selepas berjaya menyingkirkan PAS daripada gabungan parti pembangkang.

Mat Sabu dalam pada itu membuat perbandingan pencapaian PAN dengan memperlekehkan prestasi PAS berdasarkan tempoh kedua-dua parti itu ditubuhkan.

Kata beliau, PAS ditubuhkan pada tahun 1951 tetapi sentiasa mengalami kekalahan dalam pilihan raya di kebanyakan negeri hingga hilang wang pertaruhan dikebanyakan kerusi.

Jelasnya, PAS menang 15 kerusi di Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah kerana meraih undi daripada penyokong Pakatan Rakyat yang bukan beragama Islam.

Manakala, katanya, PAN yang baru berusia setahun sedang berkembang begitu pesat malah menerima banyak keahlian di Kelantan pada bulan ini sahaja.

“Perkembangan yang cepat dan saya yakin ia akan bertahan walaupun apa keputusan pilihan raya yang akan datang.

“PAN mahu kemenangan dalam pilihan raya yang akan datang, tetapi jika berlaku sebaliknya PAN akan tetap bertahan dan akan terus maju,” ujarnya.

MYNEWSHUB.CC


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-