Thursday, September 15, 2016

Muhyiddin guna isu pembebasan Anwar, tarik sokongan terhadap PPBM

 AIDCNEWS
AIDCNews – Presiden penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa menggunakan isu pembebasan Anwar Ibrahim untuk menarik sokongan rakyat terhadap partinya.

Tindakan Muhyiddin yang menyokong pembebasan Anwar, dianggap menyimpang daripada agenda perjuangan penubuhan parti baharu itu, kata penganalisis politik, Datuk Prof Zainal Abidin Borhan.

Menyifatkan kenyataan sokongan itu sebagai ‘cakap-cakap politik sahaja’, beliau berkata soal pembebasan Anwar tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya sebaliknya perlu mengikut lunas undang-undang.

“Ia akan memberi kesan kepada kepembangkangan kerana Bersih dan banyak pihak ingin membebaskan Anwar. Apa yang dilakukan Tan Sri Muhyiddin sakadar ‘nasi tambah’ untuk memanaskan suasana politik dan parti baharu sekaligus menjadikan parti itu relevan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menjelas lanjut, Zainal Abidin berkata dalam tempoh dua tahun menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tindakan itu sekaligus menunjukkan ‘drama’ pemimpin politik yang dahulunya berseteru tetapi kini boleh bersahabat semata-mata untuk menarik simpati dan sokongan rakyat.

“Kita tahu sejarah antara Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Anwar, dahulu lain sekarang cakap lain. Pokok pangkalnya apa sahaja yang berlaku, rakyat boleh menilai dan melihat pemimpin mana bercakap benar serta memahami cakap-cakap begini hanya untuk faedah politik,” katanya.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood turut senada dan menyifatkan tindakan Muhyiddin itu sebagai strategi parti baharu itu untuk menarik minat orang ramai.

Nik Ahmad Kamal berkata pembebasan Anwar merupakan isu lama yang diperjuangkan parti pakatan pembangkang untuk kepentingan politik semata-mata.

Pandangan sama turut dikongsi Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Azmi Hassan yang menyifatkan Muhyiddin telah menyimpang daripada objektif sebenar penubuhan PPBM.

“Jika PKR diasaskan atas matlamat bebaskan DSAI, itu tidak menghairankan kerana antara pengasasnya adalah isteri Anwar. Tetapi PPBM ditubuhkan dikatakan untuk pertahan hak peribumi, maka Tan Sri Muhyiddin telah menjadikan PPBM sebagai agenda peribadi dan sanggup menyimpang daripada perjuangan asal demi menjatuhkan seteru terkini beliau iaitu UMNO.

“Mungkin juga penyokong asal PPBM akan merasa tertipu dengan kepimpinan PPBM kerana sanggup menjadikan PPBM kuda tunggangan PKR,” katanya.

Sebelum ini, bekas Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan menyifatkan Muhyiddin dan mentornya, Tun Dr Mahathir tidak mempunyai pengaruh di peringkat akar umbi, sebab itu mereka memerlukan Anwar.

“Realitinya, bila Dr Mahathir dah tak ada kuasa dalam Umno, di Kubang Pasu sendiri pun beliau tak boleh menang.

“Bila Tun Mahathir tak boleh nak pengaruh orang UMNO untuk sokongnya, beliau lari ke Anwar.

“Kalau betul seorang UMNO itu sudah keluar dan akan ikut Dr Mahathir, tak perlu Dr Mahathir pergi ke Pakatan Harapan dan pergi kepada Anwar,”katanya kepada The Malaysian Times.

The New Straits Times hari ini melaporkan Muhyiddin berkata pihaknya mendesak pembebasan Anwar kerana ia merupakan permintaan orang ramai.

Bagaimanapun, permintaan itu hanya boleh ditangani sekiranya PPBM sebahagian daripada kerajaan yang menggantikan BN dan ketika itu Anwar bakal dibebaskan.

“Jika kita boleh bersetuju untuk membebaskan Anwar sebagai satu matlamat yang penting, maka kita boleh sepakati perkara ini apabila kita membentuk kerajaan baharu,” katanya.

Tambahnya, parti-parti pembangkang perlu bersatu dan menyokong parti politik baharu yang diketuai oleh beliau dan dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Untuk menyelesaikan masalah, kita perlu mengubah kerajaan, dan semua pemimpin BN perlu dikeluarkan,” katanya, sambil menambah bahawa beliau tidak akan mempertimbangkan untuk menyertai UMNO semula kerana dakwanya parti itu telah “dilanda rasuah dan salah urus” selama bertahun-tahun.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-