Saturday, September 24, 2016

'Naikkan gaji pekerja atasi kos sara hidup dan masalah rasuah'

Dr Muzaffar Syah Mallow
ULASAN  : Sudah sampai masanya para majikan bagi semua sektor dalam negara kita untuk mempertimbangkan bagi menaikkan kadar gaji para pekerja.

Dengan menghadapi suasana ekonomi semasa dalam dan luar negara yang kurang menentu serta masalah kenaikkan kos sara hidup sudah pasti ia sedikit sebanyak memberi tekanan kewangan kepada semua pihak.

Umum juga mengetahui, pihak kerajaan juga sedang giat menjalankan kempen bagi membanteras rasuah.

Pelbagai langkah boleh diambil bagi mengatasi maslah rasuah dalam negara seperti melalui proses pendidikan sepanjang masa bagi melahirkan kesedaran dikalangan semua pihak mengenai bahaya rasuah.

Usaha penguatkuasaan undang-undang sedia ada juga dilihat penting bagi mengatasi masalah rasuah dalam negara kita.

Tindakkan keras yang diambil oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mereka yang terlibat dengan gejala rasuah dilihat penting bagi memberi peringatan kepada semua pihak supaya tidak memandang ringan terhadap budaya rasuah.

Selain daripada itu, usaha pembanterasan rasuah juga boleh dibuat dengan mengenal pasti punca utamanya serta mengambil langkah bagi mengatasi punca berlakunya gelaja rasuah berkenaan.

Antara punca utama yang boleh menyebabkan seseorang itu terjebak ke kancah rasuah adalah disebabkan faktor kurangnya punca pendapatan sedia ada serta faktor keadaan ekonomi atau kos sara hidup yang meningkat.

Faktor-faktor berkenaan sudah pasti menyebabkan seseorang itu terpaksa melibatkan diri mereka ke dalam kancah rasuah bagi memenuhi pendapatan mereka serta menghadapi suasana keadaan ekonomi semasa yang kian mencabar.

Oleh itu, sudah sampai masanya pihak-pihak yang berkaitan untuk duduk berbincang bagi mempertimbangkan untuk menaikkan gaji para pekerja dalam negara selari dengan kenaikan kos sara hidup yang dihadapi pada masa kini.

Dengan kenaikkan kadar gaji semasa maka seseorang pekerja itu tidak akan mudah untuk terjerumus ke kancah amalan rasuah.

Pada masa yang sama, pihak-pihak yang berkaitan juga perlu mengambil langkah sampingan bagi membendung masalah kenaikkan kos sara hidup yang dihadapi kini.

Kenaikkan harga barangan dan perkhidmatan sudah pasti akan memberi beban kepada orang awam terutamanya mereka yang berpendapatan rendah serta yang mempunyai tanggungan keluarga yang banyak. Faktor berkenaan juga boleh menyebabkan seseorang itu terlibat dengan budaya rasuah.

Bagi mengatasi masalah ini, pihak yang berkaitan perlu sentiasa memantau serta melaksanakan proses penguatkuasaan
undang-undang bagi mengelak mana-mana pihak mengambil peluang untuk melakukan penipuan harga atau melakukan sebarang aktiviti pengambilan untung secara berlebihan daripada pengguna.

Rata-rata rakyat negara ini sedang ternanti-nanti pengumuman Bajet 2017 yang akan datang.

Adalah menjadi harapan semua rakyat supaya pengumuman bajet kelak dapat membendung segala isu yang menjadi titik perbualan semua pihak khususnya yang berkaitan dengan usaha untuk menaikkan pendapatan isu rumah serta usaha mengekang kos sara hidup yang dialami kini.

DR MUZAFFAR SYAH MALLOW adalah pensyarah kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-