Sunday, September 25, 2016

Pengarang Sarawak Report bakal terbit buku mengenai skandal 1MDB

FMT Reporters
September 25, 2016

Rewcastle-Brown akan mengupas bagaimana dan mengapa dia membongkar kontroversi dana pelaburan terbesar negara ini dalam buku itu.
PETALING JAYA: Pengarang portal Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown sedang mengarang sebuah buku mengenai kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang disifatkannya sebagai “cerita terbesar” dalam kerjayanya, lapor Malaysiakini.

Wartawan berpangkalan di London itu menjelaskan bukunya akan menjadi cerita di sebalik cerita, khususnya bagaimana dan mengapa dia membongkar kontroversi dana pelaburan terbesar negara ini.

“Saya mungkin akan kurang menulis di portal Sarawak Report pada masa kini kerana sedang sibuk mengusahakan buku dengan mengupas sebuah isu terbesar mengenai siasatan 1MDB,” katanya kepada portal berita itu.

Menurut Rewcastle-Brown dia dijangka melengkapkan bukunya itu menjelang akhir tahun, satu tugas yang diakui sukar untuk dilakukan.

Dia yang lahir di Sabah juga menambah, buku yang boleh dibaca dalam talian oleh rakyat Malaysia akan turut menyentuh isu rasuah balak di Sabah dan Sarawak.

Pada 2010, Rewcastle-Brown menubuhkan Sarawak Report, sebagai sebuah blog untuk membongkar isu penebangan hutan yang didakwa berlaku secara berleluasa di Malaysia Timur.

Beliau kemudian beralih tumpuan kepada isu skandal 1MDB.

Portal itu tidak pernah suram tanpa kontroversi, misalnya pada bulan lepas, PAS berkata akan memfailkan saman terhadap Sarawak Report di UK terhadap satu artikelnya yang mendakwa parti Islam itu menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dakwaan itu dikritik oleh pemimpin PAS yang lain, termasuk Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mahu PAS mengambil tindakan undang-undang terhadap portal atas niatnya mencemar reputasi parti itu serta dasar Islamnya.

Minggu lepas, pemimpin Barisan Nasional menafikan kreadibiliti Sarawak Report selepas pihak berkuasa Thai menjelaskan penafian terhadap permintaan Andre Xavier Justo untuk menerima hukumannya di Switzerland adalah mengikut undang-undang Thailand.

Justo adalah dalah seorang saksi utama dalam skandal 1MDB.

Sarawak Report mendakwa keputusan untuk menolak permintaan Justo itu dibuat kerana tekanan pihak luar.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-