Friday, September 2, 2016

Semua peguam boleh sahkan Najib bukan subjek siasatan DOJ, kata Rahman Dahlan

FMT Reporters

Tapi Dr M dan rakan-rakan sengaja campur aduk untuk perdaya rakyat, kata Pengarah Komunikasi Strategik BN
PETALING JAYA: Semua peguam boleh sahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukan subjek siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) keatas dakwaan pengubahan dan pelesapan wang 1MDB, kata Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Pengarah Komunikasi Strategik BN berkata perkara itu sebenarnya jelas umpama hitam dan putih, namun bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan konconya dalam pembangkang bermain muslihat untuk mengelirukan rakyat.

“Mana-mana peguam dapat mengesahkan bahawa perbezaan antara dinamakan sebagai subjek dalam saman sivil dengan mereka yang hanya dirujuk dalam siasatan, adalah seperti hitam dan putih.

“Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan barunya dalam pembangkang sengaja mencampur adukkan kedua-duanya untuk memperdaya rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam wawancara bersama badan penyiaran Britain BBC semalam, Mahathir dilaporkan berkata individu yang dirujuk sebagai MO1 oleh DoJ adalah Najib.

Susulan itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa kerajaan memberikan penjelasan manakala Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang mendesak Najib membersihkan namanya dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan ini.

“Ramai lagi yang dirujuk DoJ. Namun, paling penting sekali, tiada seorang pun dalam kalangan mereka termasuk MO1 dinamakan sebagai subjek siasatan,” jawab Rahman.

Beliau menambah kempen ‘tohmahan’ terhadap Najib akan gagal, apatah lagi selepas siasatan terperinci pelbagai pihak berkuasa membersihkan Presiden Umno itu daripada sebarang kesalahan.

“Sama seperti gagalnya setiap percubaan beliau (Mahathir) untuk menggulingkan kerajaan Malaysia yang dipilih secara demokratik,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-