Sunday, September 4, 2016

'Tak pandai bahasa Melayu nak jadi rakyat M'sia?

Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) membantah sekiranya 100,000 individu yang didakwa belum mendapat kerakyatan di negara ini diberi status berkenaan.

Ketua Wira PERKASA, Irwan Fahmi Ideris berkata mereka tidak perlu diberi kewarganegaraan sekiranya tidak dapat mengikut Perkara 16 perlembagaan negara.

Antara lain, katanya, pemohon hendaklah bermastautin selama tujuh tahun sebelum tarikh permohonan dan mempunyai pengetahuan asas dalam bahasa Melayu.

"Jadi jika merujuk kepada perkara yang termaktub dalam perlembagaan negara, adakah semua yang disebut telah dipatuhi? Jika tidak bagaimana kerajaan dapat meluluskan permohonan mereka.

"Jika ya mereka harus melalui aturan operasi standard atau S.O.P yang ditetapkan. Bukan hanya melepasi sebahagian perkara yang disebut sahaja dalam perlembagaan," katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Tan Sri Pheng Yin Huah yang disiarkan dalam akhbar Sinar Harian hari ini.

Irwan berkata, Pheng menyebut pemohon sukar mendapat kelulusan kerakyatan akibat gagal temuduga kerana tidak fasih bertutur bahasa Melayu.

"Dalam perkara ini yang paling penting adalah pengetahuan dalam bahasa Melayu. Jika tidak ada pengetahuan bagaimana dengan mudah mereka mendapat kerakyatan negara ini," jelasnya.

Tambahnya, Pheng mungkin terlepas pandang dalam perkara 16 perlembagan yang menyebut mengenai kemahiran dan pengetahuan asas bahasa Melayu sebagai syarat diterima sebagai warganegara.

"Apalah ertinya warganegara Malaysia tidak tahu dan mahir dalam bertutur bahasa Melayu.

"Bagaimana nanti kita mahu menggambarkan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa tapi tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu. Perkara ini akan memalukan negara kita," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-