Thursday, September 22, 2016

Zaman saya kerajaan pernah rugi tetapi bukan kerana saya lesapkan wang: Tun M


BANGI, Khamis – Selepas 13 hari tidak menulis dalam blog beliau, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini mengakui kerajaan pada zaman pemerintahannya dahulu turut mengalami kerugian, tetapi bukan disebabkan beliau melesapkan wang kerajaan, sebaliknya akibat daripada perniagaan.

Sebagai contoh katanya, bagi mempertahankan harga bijih beliau mengarahkan supaya membeli bijih timah daripada pedagang kerana tahu pedagang tidak ada stok bijih untuk dijual dan mereka mengharapkan harga akan jatuh supaya mereka dapat membelinya dengan harga murah sebelum menjualnya kepada pembeli ketika harga tinggi.

“Apabila sampai masa untuk mereka bekal kepada pembeli mereka akan terpaksa membeli dari kita. Kita akan kena harga yang tinggi supaya mereka akan rugi. Tetapi London Metal Exchange mendakwa kononnya kerana kita membeli berturut-turut di waktu harga rendah, kita telah cuba “corner the market”.

“Oleh itu penjual tidak perlu bekal bijih timah yang mereka telah jual. Kita rugi. Kilang besi juga rugi kerana kurang pengetahuan berkenaan pengurusan kilang oleh pengurus kita,” katanya dalam tulisan terbaru berjudul ‘Mempertahankan Najib’ dalam blog beliau hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kerajaan mengalami kerugian disebabkan arahan beliau, tetapi kerugian itu bukan disebabkan beliau melesapkan wang kerajaan, sebaliknya adalah kerana perniagaan.

“Apakah kerugian ini sama seperti wang yang dihilangkan oleh 1MDB? Apakah ada bukti yang kerugian Kerajaan disebabkan saya masukkan duit Kerajaan dalam akaun peribadi saya? Najib nafi melesap wang 1MDB. Kononnya raja Arab bagi 2.6 bilion Ringgit untuk dimasukkan dalam akaun peribadinya untuk dibelanja sesuka hatinya. Dalam sejarah dunia ini tidak pernah berlaku.

“Oleh kerana dakwaan bahawa saya lakukan apa yang dilakukan oleh Najib tidak berasas sama sekali, maka saya berhak bukan sahaja mengkritik Najib tetapi mengecam salahlakunya dengan berusaha untuk menyingkirnya.

“Jika Najib benar tidak bersalah, apa sebabnya yang dia merahsiakan laporan Bank Negara, laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan laporan Ketua Audit Negara,” soalnya.
Tun Dr Mahathir berkata, pihak yang mempertahankan Najib mendakwa kononnya ketika menjadi Perdana Menteri, beliau juga membuat perkara yang sama dan disebabkan itu beliau tidak boleh mengkritik, jauh sekali menjatuhkan Najib.

“Saya ingin tanya bilakah semasa saya jadi Perdana Menteri saya dituduh di dalam dan di luar negeri yang saya curi duit Kerajaan (duit rakyat) berbilion Ringgit. Saya biasa dituduh juga sebagai perasuah, korup, mempunyai kroni dan lain-lain. Semasa saya Perdana Menteri saya anggap sebagai orang politik tuduhan ini adalah perkara biasa.

“Tetapi hakikatnya tuduhan seperti yang dilempar kepada Najib tidak pernah dilempar kepada saya semasa saya jadi Perdana Menteri. Bahkan selepas saya letak jawatan usaha selidik terhadap salahlaku oleh saya yang dibuat oleh kepimpinan yang menyusuli tidak berjaya mengenal pasti salahlaku saya berkenaan pengurusan kewangan Negara. Jika ada saya yakin sudah lama saya diheret ke mahkamah,” katanya.

Selain itu, Tun Dr Mahathir juga memberitahu bahawa beliau menolak hadiah daripada kerajaan berupa tanah ketika meletak jawatan dan turut menyerahkan 24 kereta yang dihadiahkan kepadanya kepada kerajaan.

“Saya tidak perlu kekayaan kewangan. Saya berpendapat gaji saya sebagai Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri lebih dari mencukupi. Saya tidak perlu belanja gaji saya untuk sara hidup kerana segala-galanya, rumah, api dan air, kenderaan, pesawat terbang, perjalanan ke merata dunia dibiayai oleh Kerajaan.

“Gaji saya selama 29 tahun dalam Kerajaan saya simpan. Itulah wang yang saya guna untuk modal kedai roti, ternakan kuda, lembu dan kerbau. Saya tidak pinjam barang satu sen pun dari bank. Saya tidak membeli saham dalam pasaran saham. Tetapi satu rumah saya dibangun dengan pinjaman duit Kerajaan. Saya sudah lama bayar hutang ini,” katanya.

Tun Dr Mahathir juga mencabar sesiapa yang mempertahankan Najib supaya menyaman pihak-pihak yang membuat dakwaan bahawa Najib melesapkan wang negara.

“Jika ingin pertahan Najib, adakan saman malu terhadap semua mereka termasuk saya yang menuduh Najib lesapkan wang rakyat. Jangan beri alasan kononnya saya pun buat apa yang Najib buat. Sebaliknya benarkanlah proses perundangan dilaksana dan Najib dihadap perbicaraan mahkamah keadilan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-