Saturday, October 8, 2016

Anifah tolak kaitan dengan kes rasuah RM114.5 juta di Sabah

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menyangkal dakwaan bahawa beliau dan bahagian partinya mempunyai kaitan dengan dua pegawai kanan kerajaan di Sabah yang disiasat kerana didakwa salah guna kuasa.

“Dakwaan ini adalah tidak munasabah sama sekali dan palsu.

"UMNO Kimanis dan saya tidak terlibat atau terbabit sama sekali dalam kes yang sedang disiasat," kata beliau dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

Anifah, yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis dan Anggota Parlimen Kimanis, berkata beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya kenyataan berbaur fitnah itu terus disiarkan.

Beliau juga menasihatkan rakyat supaya biarlah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan tugasnya dengan adil dan betul tanpa sebarang campurtangan.

Bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng Datuk Hamidah Osman memuat naik dalam media sosial bahawa pengarah sebuah agensi kerajaan yang disiasat oleh SPRM ialah Bendahari UMNO Kimanis Datuk Mohd Rizal Abdullah alias Raymund Godfrey.

Bagaimanapun, beliau kemudian menarik balik posting itu dan memohon maaf bahawa Bendahari UMNO Kimanis itu bukan suspek.

Dua pegawai kanan kerajaan - seorang pengarah dan seorang timbalan pengarah ialah antara empat suspek yang ditahan SPRM untuk membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion.

SPRM merampas wang tunai lebih RM114.5 juta dalam serbuan di pejabat dan rumah suspek-suspek tersebut yang kini direman sehingga 11 Okt untuk membantu siasatan.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-