Wednesday, October 12, 2016

'Anwar sebak, terharu dengan sokongan penyokongnya'

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
12 OKTOBER 2016
Sivarasa Rasiah, dalam ucapannya di hadapan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pekarangan Istana Kehakiman Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA -‎ "Datuk Seri Anwar Ibrahim ‎mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir, sampaikan salam.

"Itu pesanan yang disampaikan Anwar kepada yang hadir," kata salah seorang peguam yang mewakili Anwar‎, Sivarasa Rasiah.

Sivarasa berkata, Anwar turut melahirkan rasa sebak dan terharu di atas sokongan yang diberikan oleh para penyokongnya hari ini.

"Tadi saya bersama beliau selepas habis perbicaraan kes, beliau terharu sebab ramai yang datang.

"Dari 1998 sampai sekarang....semangat inilah yang menguatkannya dan akan membawa perubahan," katanya di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan semakan yang dikemukakan bekas ketua pembangkang itu terhadap sabitan bersalah dan penjara selama lima tahun kerana kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

‎[ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan semakan kes Anwar ditangguh‎]

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menangguhkan keputusan itu selepas selesai mendengar hujahan yang dikemukakan Datuk Seri Gopal Sri Ram dan hujahan balas oleh pendakwa raya, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Korum itu turut dipengerusikan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Tan Sri Richard MalanjumTan Sri Hasan Lah; Tan Sri Abu Samah Nordin; dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Selain Ahmad Kamal, pasukan pendakwa raya dibarisi Awang Armadajaya Awang Mahmud, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Zhafran Rahim Hamzah.

Anwar pula diwakili peguam, Datuk Sri Gopal Sri Ram, N Surendran, R Sivarasa, Sangeet Kaur Deo, J Leela dan Latheefa Koya.

Semakan itu merupakan usaha kedua Anwar supaya dibebaskan daripada tuduhan meliwat selepas Lembaga Pengampunan yang bermesyuarat pada 16 Mac tahun lalu, menolak petisyen pengampunan Anwar dan menyatakan hukuman penjara lima tahun terhadapnya perlu diteruskan.

Anwar memfailkan semakan itu mengikut Aturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-