Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Friday, October 21, 2016

Bajet 2017 lebih inklusif berhemah

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2017 di Parlimen hari ini.
 - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2017 dengan memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa komited untuk melaksanakan bajet bertanggungjawab melalui perbelanjaan berhemah untuk merangkumi semua segmen rakyat.

"Bajet ini bukanlah digubal bagi kepentingan atau berlegar kepada kumpulan rakyat tertentu sahaja, namun direka, bersifat inklusif demi kesejahteraan rakyat seluruhnya," kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Antara segmen yang memperoleh manfaat dalam Bajet 2017 ialah penjawat awam yang kini jumlahnya mencecah 1.6 juta, penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), penduduk luar bandar, kumpulan nelayan, golongan muda, generasi kedua Felda, Felcra dan Risda, pemandu teksi dan usahawan.

Dalam Bajet 2017 bertemakan 'Menjamin Perpaduan & Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh' itu, Najib mencadangkan sejumlah peruntukan RM260.8 bilion iaitu RM214.8 bilion untuk belanja mengurus dan RM46 bilion untuk belanja pembangunan.

Jumlah itu tidak termasuk simpanan luar jangka sebanyak RM2 bilion, katanya.

Najib berkata Bajet 2017 digubal dengan berpegang kepada lima prinsip dan falsafah kerajaan termasuk mengutamakan kesepaduan nasional dalam pembinaan negara bangsa dan memelihara kedaulatan, keluhuran perlembagaan dan undang-undang serta keselamatan negara.

Beliau berkata konsep penting yang ditekankan dalam Bajet 2017 dalam menuju status negara maju ialah "kebahagiaan masyarakat".

"Bajet ini bukan hanya tentang pendapatan semata¬mata, tetapi ia berkait kualiti kesejahteraan hidup rakyat, seperti aman daripada jenayah, menikmati alam sekitar yang bersih dengan pelbagai seni dan kebudayaan yang berwarna warni," katanya.

Konsep itu juga menekankan pencapaian pendidikan yang tinggi, mengangkat kesarjanaan dan keintelektualan, khidmat kesihatan yang terjamin serta memiliki akses kepada pengangkutan awam yang efisien, katanya.

Perdana Menteri berkata demi kesejahteraan rakyat, kerajaan akan terus melaksanakan projek dan program 'berpaksikan rakyat' di bandar dan luar bandar.

Dalam Bajet 2017, beliau antaranya mencadangkan pemasangan 97,000 lampu jalan dan 3,000 lampu LED di 7,500 kampung dan menyediakan RM300 juta di bawah Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia untuk membaik pulih kemudahan kawasan flat dan 113 Program Perumahan Rakyat di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Najib berkata berkat kegigihan serta inisiatif stimulus ekonomi dan tujuh pakej bajet yang dilaksanakan sebelum ini telah menyebabkan ekonomi Malaysia stabil dan kekal di landasan positif.

"Melalui segala inisiatif yang diambil oleh pihak kerajaan ini, ekonomi kita berkembang secara mampan, dan kini, mengikut ukuran Purchasing Power Parity (kesamarataan kuasa membeli), Malaysia telah menjadi sebuah negara upper middle income (pendapatan sederhana tinggi), mengatasi banyak negara bukan sahaja di Asia, namun di seantero dunia," katanya.

Menurutnya, KDNK PPP per kapita rakyat Malaysia telah meningkat daripada AS$23,100 pada 2012, kepada AS$26,891 pada 2015.

Najib menolak salah persepsi pihak tertentu yang mengatakan Malaysia akan bankrap atau muflis berdasarkan agensi penarafan antarabangsa berwibawa seperti Fitch yang memberi penarafan A-, iaitu sama dengan kelompok negara yang saiz ekonominya lebih besar dan maju seperti Korea, China, Jepun dan Taiwan.

"Istilah muflis atau bankrap itu jauh sekali daripada kamus ekonomi Malaysia," katanya. 

- Bernama