Wednesday, October 5, 2016

Jangan politikkan agama demi tutup korupsi, skandal balak

 oleh Hafiz Zainuddin
MENTAKAB, 5 OKT: Pemimpin PAS diingat supaya tidak sewenang-wenang memperalatkan nama Islam semata-mata untuk meraih simpati politik dengan memainkan sentimen agama melibatkan usul pindaan Rang Undang-Undang 355 Akta Mahkamah Syariah.

Lebih mendukacitakan, mereka seolah-olah pejam mata terhadap cabaran sebenar realiti politik semasa yang semakin membebankan rakyat dan negara.

Naib Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Shah berkata, tindakan memperalatkan agama demi kepentingan parti politik hanya akan merugikan umat Islam sekaligus melebarkan lagi jurang perkauman di Malaysia.

Katanya sentimen ‘hudud’ yang sering diputarkan pemimpin PAS selama ini telah menyebabkan sebahagian umat Islam terpengaruh dengan fahaman takfiri yang berbahaya dan merupakan punca meletusnya radikalisme dalam sesebuah masyarakat.

“Jelas isu RUU355 misalnya seperti mahu mengalihkan perhatian rakyat dari isu sebenar yang dihadapi negara.

“Negara sedang hadapi banyak masalah seperti skandal 1MDB, skandal derma berbilion ringgit, isu alam sekitar, isu pembalakan besar-besaran di Kelantan, isu hak orang asal dan golongan terpinggir, tekanan ekonomi yang dihadapi golongan kelas pekerja dan sebagainya, tapi PAS sibuk mainkan isu agama,” ujarnya kepada Roketkini.

Adun Mentakab itu merujuk kepada satu laporan media berhubung kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu sedia bekerjasama dengan mana-mana parti untuk memperkasakan Islam (menyokong RUU355) kerana ‘parti-parti lain yang ada kerjasama dengan PAS ini hanya hendak gunakan PAS sahaja’.

“Rakyat perlu lebih realistik dengan isu sebenar yang melanda negara dan tidak mudah termakan dengan retorik politik semata-mata,” jelas Ketua Pembangkang DUN Pahang itu.

Beliau berkata Islam memiliki pendekatan yang luas dan bukan semata-mata menghukum sebaliknya mengajak manusia ke arah kebaikan, menentang salahguna kuasa, menentang rasuah dan sebagainya.

Dalam perkara itu beliau bersetuju dengan kenyataan Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor baru-baru ini yang menegaskan adalah tidak wajar memaksa mana-mana ahli Parlimen menerima RUU355 dengan apa jua cara termasuk mengugut kononnya sesiapa tidak menyokong akan menjejaskan akidah.

Ini kerana usul pindaan rang undang-undang persendirian Hadi itu perlu diteliti dari pelbagai aspek perundangan dan dibahaskan demi menghasilkan sebuah undang-undang yang dapat berlaku adil kepada seluruh warga.

Dr Wan Salim turut melahirkan rasa sedih apabila wujud segelintir agamawan di negara ini yang sewenang-wenang mengkafirkan orang Islam hanya kerana mengambil pendirian tidak bersetuju dengan rang undang-undang tersebut. 

Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-