Wednesday, October 12, 2016

Keluarga, penyokong Anwar solat hajat sebelum semakan mahkamah

Anne Muhammad

Keluarga bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mengadakan solat hajat dan bacaan Yassin sebelum semakan mahkamah yang dijadualkan esok berhubung pemenjaraannya kerana kes liwat.

Majlis bertempat di kediaman Anwar di Bukit Segambut Dalam, Kuala Lumpur itu dihadiri seramai 150 orang bermula pada jam 6.30 petang dan berakhir pada 11 malam tadi.

Dalam ucapan anak sulung Anwar, Nurul Izzah berkata usaha untuk membebaskan Anwar tidak akan terhenti selepas menyemak semakan mahkamah esok.

Katanya, pelbagai cara akan digunakan bagi mencapai matlamat utama yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Selain itu katanya, pihaknya akan memperluaskan lagi petisyen antarabangsa atas talian dan menggesa seluruh negara untuk menandatanganinya sebelum diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Esok kita akan lancarkan petisyen antarabangsa, kerana tokoh seperti Anwar bukan sahaja rakyat Malaysia yang desak, tapi seluruh dunia desak pembebasan beliau.

“Mungkin ramai yang akan tandatangan kerana di bawah artikal 42 perlembagaan persekutuan Yang di-Pertuan Agong boleh sahaja melepaskan sesiapa sahaja.

“Tapi akibat undang-undang dipinggirkan dalam kes yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar, tapi ini usaha kita,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Izzah turut menyeru kepada semua penyokong Anwar untuk berkumpul di mahkamah sebagai tanda solidariti kepada Ketua Umum PKR itu.

Turut hadir pada majlis malam ini adalah bekas presiden ABIM, Amidi Abd Manan, Presiden ABIM Raimi Abd Rahim, Presiden WADAH, Ahmad Azam Abdul Rahman.

Sebelum solat hajat bermula, mereka turut berbuka puasa sempena 10 Muharam dan selepas Maghrib, kuliah khas disampaikan oleh ustaz Zamri Zainal Abidin dengan tajuk Qazaf: Menginsafi Cabaran, Mensyukuri Nikmat Perjuangan.

Selepas menjalani hukuman penjara selama setahun lapan bulan, esok Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan Anwar sebagai usaha akhirnya menggunakan saluran perundangan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun itu.

http://www.malaysiakini.com/news/358704

Beliau memohon dibebaskan daripada pemenjaraan.

Anwar juga mahu Mahkamah Persekutuan menggunapakai Aturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 dan membuat semakan terhadap keputusan panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Anwar, 68, menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb, 2015 mengekalkan sabitan dan hukuman penjara yang dijatuhi oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac, 2014.

Pada 9 Jan, 2012, Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan atas alasan bahawa mahkamah tidak 100 peratus yakin mengenai integriti sampel yang diambil daripada mangsa bagi ujian DNA.

Anwar dikatakan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 31 di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Beliau bagaimanapun secara konsisten menafikan dakwaan itu dan menuduh pemimpin Umno dan kerajaan mendalangi konspirasi politik untuk memusnahkan kerjaya politiknya dan pihak pembangkang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-