Tuesday, October 18, 2016

Letak jawatan kerana hudud? Tunggulah, kata Subra

Alyaa Azhar  -
Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung kemungkinan beliau akan meletak jawatan jika rang undang-undang persendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta 355 dibentangkang.

Ditanya mengenai sikapnya untuk meletak jawatan Subramaniam berkata: "Itu you tunggulah."

Menteri kesihatan itu ditemui di Shah Alam hari ini. Beliau diminta mengulas cubaan presiden PAS membawa usul persendirian bagi meminda Akta 355 atau juga dikenali sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

PAS menegaskan anggota parlimen beragama Islam perlu menyokong usul berkenaan walaupun Abdul Hadi sendiri menegaskan ia bukanlah hudud.
Subramaniam sebelum itu menghadiri majlis Anugerah Kantin Bersih, Selamat dan Sihat.

Pada sidang media beliau berkata pendirian MIC berhubung isu itu sudah dinyatakan sebelum ini.

Ditanya pendirian parti itu sekarang Subramaniam berkata mereka sudah membincangkannya dengan parti lain yang menjadi komponen BN.

Katanya "satu langkah" untuk menangani isu berkenaan sudah dipersetujui.

"Justeru kita akan ikut apa yang kita sudah persetujui," katanya.

Subramaniam adalah seorang daripada pemimpin parti dalam BN yang menegaskan akan meletak jawatan jika kabinet menerima pindaan berkenaan yang dilihat membuka jalan kepada pelaksanaan hudud.

Menyertai pendirian itu ialah Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, timbalannya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong.

Malah MCA pada 16 Oktober dilaporkan berkata parti tu akan memastikan rang undang-undang persendirian Abdul Hadi tidak akan dibahaskan di parlimen walaupun disenaraikan sebagai perkara keempat dalam kertas aturan mesyuarat.

Usul Abdul Hadi diletakkan pada susunan keempat pada hari pertama sidang parlimen semalam.

Bagaimanapun selepas tidak sempat dibentangkan ia berada pada kedudukan ketujuh hari ini.

Bagaimanapun ia tidak semestinya diketepikan begitu saja. Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said - dengan perintah Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi - pernah mencadangkan usul berkenaan di bawa untuk dibentangkan di parlimen.

Bagaimanapun Abdul Hadi meminta ia ditangguhkan ke sidang berikutnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-