Sunday, October 2, 2016

Mat Sabu yakin Amanah perintah Kelantan penggal akan datang

FMT Reporters
October 2, 2016

Amanah boleh menang Kelantan dengan bantuan DAP dan PKR, tambahnya.
PETALING JAYA: Presiden Amanah Mohamad Sabu percaya partinya boleh mengambil alih pentadbiran Kerajaan Kelantan dalam pilihanraya akan datang.

Beliau menambah perkara itu boleh tercapai dengan sokongan Pakatan Harapan, yang dianggotai DAP, dan PKR yang mempunyai kerjasama politik dengan PAS.

“Di Malaysia, kalau kamu nak politik berseorangan, eloklah duduk bersendirian, jadi kera sumbang,” katanya lapor portal pro-Amanah Malaysia Dateline.

Beliau berkata demikian di ceramah kemuncak ulangtahun penubuhan Amanah di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur.

PAS memerintah Kelantan selama 26 tahun sejak 1990. Amanah dibentuk oleh pimpinan PAS yang dikecewakan dalam pemilihan parti tahun lepas.

Amanah bersama DAP dan PKR membentuk Pakatan Harapan selepas Pakatan Rakyat dibubarkan angkara pergaduhan antara parti komponen. PKR mengekalkan kerjasama dengan PAS, manakala PH dilaporkan sedia bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diasaskan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dalam politik tidak ada musuh yang tetap, tidak ada kawan yang tetap,” ujarnya sambil menyebut beliau pernah dipenjara di bawah pemerintahan Dr Mahathir.

“Sekarang dia (Tun Mahathir) tiada kuasa, dia mahu BN jatuh dan dia nak berkawan dengan kita.

“Berkatalah yang hak depan pemerintah yang zalim bukan dengan pencen yang zalim,” katanya.

Semalam, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan kerjasama kepada PAS. Pembangkang cuba untuk memastikan pertandingan satu lawan satu menentang BN dalam pilihan raya akan datang.

Muhyiddin menawarkan 3 bentuk kerjasama iaitu pembentukan pakatan pembangkang baharu, kerjasama antara mereka dan PH, atau persefahaman antara mereka dan PH dalam pilihan raya akan datang.

Meneruskan ucapanya, Sabu berkata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang pemimpin berjiwa besar dan calon Amanah untuk perdana menteri.

“Pakatan Harapan dalam mesyuarat pertama di Subang Jaya masih lagi mengiktiraf kalau Pakatan Harapan menang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal Perdana Menteri,” tegasnya.

PAS dilaporkan mahu melihat presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipertimbangkan untuk jawatan itu, manakala Dr Mahathir menamakan Muhyiddin.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-