Thursday, October 27, 2016

Najib lancar NSOF, pertama di dunia

OLEH ARIF NIZAM ABDULLAH  - 

Pasukan Operasi Khas Negara membuat demonstrasi menggunakan helikopter pada Majlis Pelancaran Pasukan Operasi Khas Negara (NSOF) di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 Okt 2016.

Datuk Seri Najib Razak menyifatkan penubuhan Pasukan Operasi Khas Nasional (NSOF) membuktikan komitmen serius kerajaan bagi menangani ancaman keganasan terhadap kepentingan negara.

Perdana Menteri berkata, NOSF dianggotai pasukan khusus dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Beliau berkata, pasukan berkenaan adalah pertama di dunia menggabungkan kekuatan darat, laut dan udara yang dianggotai seramai 17 pegawai dan 170 anggota.

"NSOF kali pertama ditubuhkan dan Malaysia merupakan satu-satunya kerajaan yang menubuh. Tiada negara lain yang berjaya menggabungkan angkatan laut dan darat.

"Dalam ATM pernah gabung dengan pelbagai angkatan kita tahu. Memang kuat dan apatah lagi NSOF campur dengan polis. Campur lagi dengan APMM, lagi macam-macam.

"Maknanya kita sudah berjaya. Negara lain tidak boleh buat, Malaysia boleh buat. Harap-harap ini akan beri satu kelainan, beri nilai tambah untuk memerangai keganasan.

"Dari segi jumlahnya, NSOF tidak besar, kita tidak perlu pasukan yang besar. Yang kita hendak, pasukan ini yang merupakan satu kumpulan yang terlatih dan bergerak dalam SOP yang paling cepat.

"Dan kita boleh tambah lagi dengan angkatan lain sekiranya memerlukan anggota tambahan mengikut situasi tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran NSOF di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahidan Kassim dan Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk peralatan penghawa dingin Bangunan NSOF.

Mengulas lanjut, Najib berkata, penubuhan NSOF merupakan sebahagian daripada inisiatif keselamatan negara berdasarkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Jelasnya, NSOF akan bertindak sebagai pasukan tindakan cepat bagi membendung keganasan di peringkat awal melibatkan unit darat, udara dan maritim daripada pasukan keselamatan.

"NSOF akan diselia oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengikut Akta MKN yang berkuatkuasa baru-baru ini.

"Justeru, NOSF adalah manifestasi dan komitmen kerajaan yang tidak alpa dengan keselamatan negara," katanya. 

- MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-