Monday, October 10, 2016

Pakatan Harapan perlu bersedia hadapi PRU 14 tanpa PAS - Husam

 AIDCNEWS
  Pakatan Harapan khususnya Parti Amanah Negara (PAN) perlu bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-14 dengan anggapan PAS tidak akan bersama mereka, kata Datuk Husam Musa.

Namun, Husam berkata, usaha pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang terus mengadakan pertemuan dan berunding dengan PAS harus disokong.

“Parti Bersatu boleh akan mengukuhkan lompang-lompang ke arah menumbangkan UMNO BN.

“Kalau dulu kita mempunyai teman dalam Pakatan tapi hari ini PAS telah mempunyai sikap yang berbeza dan berlainan dari dulu.

“Saya tidak menghalang dan tidak berasa keberatan jika ada rakan-rakan yang boleh berunding dengan PAS bawa PAS masuk dalam Pakatan kita.

“Tetapi secara realistik juga kita kena menerima kemungkinan PAS tak akan bersama dengan kita walaupun kita nak PAS bersama kita, katanya beliau sewaktu berucap di majlis makan malam PAN Gopeng di Ipoh pada Sabtu, lapor Malaysia Dateline.

Hadir sama dalam program itu ialah Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty, Pengarah Pilihan Raya PKR pusat, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Pengerusi Amanah Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan lain-lain pimpinan Pakatan Harapan.

Husam berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamed yang masih menaruh harapan untuk mengadakan rundingan dengan PAS bagi memastikan pertandingan satu lawan satu pada PRU 14 dapat direalisasikan.

Sementara itu, Husam turut membayangkan pertandingan tiga penjuru hampir pasti akan berlaku di Kelantan pada PRU 14 nanti.

ADUN Salor itu berkata, perkara itu hanya dapat dielakkan jika PAS bersetuju dengan rundingan atau kerjasama politik yang sedang digerakkan oleh pelbagai pihak dalam parti pembangkang.

“Sekiranya PAS ingin kembali ke dalam lingkungan pakatan, kita boleh terima. Tetapi dengan terma-terma tertentu. Misalnya, berkaitan kemajuan, kebaikan selain melahirkan kerajaan yang bersih sepertimana yang dituntut Islam.

“Jika ditakdirkan PAS tak bersama, kita harus berjalan tanpa menunggu lampu hijau atau ketentuan mereka. Ini ketetapan yang saya ambil di Kelantan,” katanya.

Husam berkata, pihaknya juga percaya beberapa negeri seperti Perak, Sabah, Kedah dan Johor boleh dimenangi pembangkang jika ada usaha bersepadu dijalankan.

“Perlu atur pelbagai program dan strategi ke arah perubahan secara berterusan. Saya yakin akan berlaku perubahan bukan sahaja di Perak malah Sabah, Johor dan Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, Husam yang juga bekas Naib Presiden PAS turut melahirkan sedih dengan kerapuhan nilai integriti dan penyelewengan yang berlaku di kalangan rata-rata pimpinan Melayu Islam pada ketika ini.

Beliau berkata, tindakan yang dipamerkan mereka bukan sahaja tidak selari malah menjatuhkan kredibiliti Islam sebagai sebuah agama yang syumul.

“Kesimpulannya, pemimpin Melayu sebenarnya terancam dari dalam dan bukannya terancam disebabkan DAP sepertimana dimomokkan mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-