Monday, October 31, 2016

PAS giat sebar Islam di Sarawak, dibantah mubaligh Kristian

FMT Reporters : 

Riduan yang mendakwa penduduk Sarawak 'rendah tahap pemahaman Islam', juga mengakui kesukaran parti itu bergerak di negeri bermajoriti penduduk Kristian itu.
PETALING JAYA: Sambil menganggap penduduk Sarawak “masih rendah tahap kefahaman Islam”, PAS berkata ia giat menyebarkan Islam kepada penduduk pedalaman di negeri itu sehingga menimbulkan bantahan mubaligh Kristian.

“Aktivis PAS antara paling kehadapan melakukan misi dakwah ke pedalaman Sarawak sehingga menimbulkan bantahan gerakan misionari Kristian,” kata ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Riduan Mohamad Noor dalam coretan sempena penganjuran karnival menyambut 20 tahun penglibatan parti itu dalam politik Sarawak.

Riduan mengakui bukan mudah untuk PAS berkubu di Sarawak, walaupun mendakwa parti itu disertai pelbagai latar belakang profesional termasuk mereka yang berhijrah dari Semenanjung.

“Tak terbayang betapa sukarnya gerakerja awal untuk memahamkan masyarakat Sarawak dengan perjuangan Islam, apatah lagi dengan segelintir rakyat yang agak skeptikal dengan parti -parti yang berasal daripada Semenanjung,” katanya.

Riduan juga mendakwa aktivis PAS di pedalaman Sarawak berdepan “tapisan maklumat ketat”, walaupun tidak memberi butiran lanjut.

“Intimidasi kepada penjawat awam serta kekangan kepada aktivis PAS tidak menyurutkan mereka daripada berjuang,” tambahnya, dalam penulisan diterbitkan lidah rasmi PAS, Harakahdaily..

Sarawak dengan penduduk lebih 2.6 juta merupakan negeri majoriti Kristian, dengan penduduk Islam sekitar 32%, menurut bancian 2010.

Dua hari lepas, PAS menganjurkan karnival ulang tahun 20 tahun parti itu bertapak di Sarawak, di Petra Jaya, dihadiri pimpinan tertinggi termasuk presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

PAS, yang kini tidak lagi bekerjasama dengan mana-mana parti kecuali sebuah parti baharu pimpinan bekas menteri Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, tidak pernah memenangi apa-apa kerusi di Sarawak sejak menyertai pilihan raya negeri pada 2001.

Pada pilihan raya negeri Mei lalu, PAS bertanding di 11 kerusi negeri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-