Sunday, October 16, 2016

Pas minta Umno nilai kerjasama dengan MCA


Ketua Penerangan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Umno perlu menilai semula kerjasama dengan MCA jika benar parti komponen BN itu menolak untuk menyokong pindaan RUU Akta 355 di Parlimen.

Beliau berkata, tindakan tersebut menunjukkan Umno gagal mendidik parti komponen mereka untuk menghormati agama Islam sehingga boleh campur tangan dalam urusan agama orang lain.

“Akta 355 ini jelas sekali tidak libatkan orang bukan Islam. MCA pula secara terangan cuba campur tangan dan menentang perubahan dan pindaan akta ini. Sedangkan mereka sedar ia tidak melibatkan mereka.

“Ini buktikan kegagalan Umno didik mereka hormat hak umat Islam untuk bebas melakukan suruhan agama di negara ini.

"Namun begitu, saya juga masih belum yakin sepenuhnya MCA akan menentang pindaan ini kerana nasib politik mereka bergantung pada Umno,” kata Ahmad Fadhli , memetik laporan Sinar Harian Online.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Biro Publisiti MCA, Chai Kim Sen yang menafikan parti itu tidak akan menentang rang undang-undang dikemukakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hari ini, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai berkata pihaknya akan memastikan rang undang-undang (RUU) ahli persendirian Anggota Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta 355 tidak akan dibahaskan di Parlimen walaupun telah disenaraikan sebagai perkara keempat dalam kertas aturan mesyuarat.

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Pas Kelantan memberitahu, sayap-sayap utama parti telah turun padang untuk membantu memahamkan lagi orang ramai mengenai akta tersebut.

Sehingga kini, beliau berkata, sambutan yang diterima sangat menggalakkan terutamanya jelajah yang melibatkan kawasan-kawasan di 14 Parlimen di negeri ini.

“Malah kita juga akan turun padang ke setiap Dun untuk beri penerangan yang lebih khusus dibantu pula dengan pengedaran risalah-risalah mengenai perkara tersebut di semua tempat-tempat tumpuan orang ramai,” ujar beliau lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-