Saturday, October 22, 2016

PAS selar pembangkang 'tidak profesional' keluar dewan

FMT Reporters :

Nik Abduh berharap tindakan sedemikian tidak akan berulang pada sesi perbahasan nanti, bagi mengelakkan pembaziran masa ahli parlimen lain untuk berbahas.
KUALA LUMPUR: PAS menyelar tindakan “tidak profesional” wakil rakyat Pakatan Harapan meninggalkan Dewan Rakyat, ketika perdana menteri membentangkan Bajet 2017, petang tadi.

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, pembangkang tiada hak mengganggu ucapan penting Datuk Seri Najib Razak, walaupun beliau menyindir mereka.

“Pembentangan bajet adalah hari besar untuk negara dan rakyat. Ia adalah hari dan masa khas untuk perdana menteri berucap membentangkan bajet,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berharap tindakan sedemikian tidak akan berulang pada sesi perbahasan nanti sehingga membazirkan masa ahli parlimen lain untuk berbahas.

“Masa untuk ahli Parlimen membahas dan menghujah bajet adalah selepas ini. Saya harap ia digunakan sebaik-baiknya oleh semua ahli parlimen tanpa membazirkan masa dengan perlakuan tidak profesional yang hujungnya mematikan masa dan peluang ahli-ahli parlimen yang di giliran akhir mengambil bahagian perbahasan dengan sempurna.”

Ketika pembentangan Bajet 2017 hari ini, ahli parlimen Pakatan Harapan bersama Ahli Parlimen PAS Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) merangkap Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka juga memegang poster “#Siapa MO1?” dan keluar dari tempat duduk masing-masing.

Wakil rakyat PAS yang lain bersama Ahli Parlimen Semporna merangkap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal kekal dalam dewan sehingga pembentangan berakhir.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, PAS mematuhi peraturan Dewan Rakyat yang menghalang wakil rakyat mengganggu ahli parlimen berucap, kerana mereka berpeluang menolak Bajet 2017 pada sesi mengundi.

“Ada perkara yang kita tidak setuju, namun caranya adalah mengemukakan pandangan secara ilmiah ketika perbahasan. Jika tidak setuju dengan bajet, kita boleh menolaknya ketika sesi mengundi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-