Tuesday, October 4, 2016

PRU 14 : DAP saran Pakatan Harapan letak calon di tempat UMNO & PAS bertanding

AIDCNEWS
AIDCNews – 03/10/16 – Pakatan Harapan perlu meletakkan calon di tempat UMNO dan PAS bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 kata Mahdzir Ibrahim, Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor.

“Saranan saya supaya semua kerusi ditandingi Umno dan PAS diletakkan Pakatan Harapan akan membolehkan satu penjajaran garis politik berlaku dengan lebih cepat.

“Ini akan melicin dan meluruskan lagi usaha membina keyakinkan rakyat kepada parti-parti pembangkang berkaitan kesiagaan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan BN menerusi pilihan raya umum akan datang,”katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.

Mahdzir yang merupakan calon DAP yang tewas di Parlimen Tanjong Piai, Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) berkata PAS kini secara total menolak dan DAP dan PAN tetapi sedang bermain politik teka teki dengan UMNO, PKR dan PPBM.

“PAS tidak akan mampu membuat pendirian yang tetap dan jelas dalam aspek ini, sebaliknya terus berdolak-dalik dengan pelbagai ragam politik yang dimainkan bersama Umno, PKR dan BERSATU.

“Garis politik PAS yang kabur, tidak konsisten dan berbolak-balik hanya akan mengelirukan rakyat. Malah, PAS sendiri tidak menginginkan sistem pilihan raya yang bersih dan adil apabila mengambil pendirian untuk tidak menyokong BERSIH 5 pada 19 November nanti.

“Bangsa Johor punya garis politik yang tuntas, bukan begini,”katanya.

Justeru, Mahdzir menyarankan agar Pakatan Harapan tidak perlu lagi membuang masa dengan melakukan usaha untuk memujuk PAS agar kembali semula ke pangkuan blok pembangkang yang dianggotai PKR, DAP, PAN dan PPBM.

“Pandangan saya ini juga adalah mengambil saranan penulis veteran politik, Subky Latif dalam satu rencana beliau yang disiarkan di Harakahdaily pada 28 September 2016.

“Subky menyarankan kepada pihak pembangkang agar mengambil keputusan bergabung lawan BN dan tidak perlu membuang masa menunggu PAS untuk bersama.

“Justeru, mana-mana pihak di kalangan pembangkang terbuka untuk memberi cadangan dan harus tampil mengemukakan idea demi menumpukan usaha kerja memantapkan gerakan menewaskan BN pada pilihan raya umum ke-14.

“Sikap tunggu dan lihat, ada hadnya,”katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-