Thursday, October 13, 2016

RUU 355: PAS ambil tindakan realistik, kata bekas ketua hakim negara

FMT Reporters |

Kerjasama antara PAS dan Umno berhubung isu RUU 355 akan memberi keuntungan kepada kedua-dua belah pihak.
PETALING JAYA: PAS sudah mengambil tindakan realistik dalam menangani isu pindaan Rang Undang-undang 355 (RUU 355) yang sekali gus membuka jalan kepadanya untuk bekerjasama dengan Umno, kata bekas ketua hakim negara.

Menurut Tun Abdul Hamid Mohamed, pindaan yang bertujuan mengukuhkan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang dibentangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, beliau menegaskan tidak ada alasan Umno dan PAS untuk bekerjasama dalam isu ini kerana ia akan memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak.

“PAS sudah mengambil pendirian realistik dan bukan lagi retorik. Jika itulah pendirian PAS, bagi saya tidak ada apa-apa masalah lagi Umno untuk bersetuju menyokong cadangan pindaan Akta 355 itu,” katanya dalam ruangan komentar di Berita Harian.

Hadi dilaporkan akan membentangkan RUU persendirian itu untuk dibahaskan di Dewan Rakyat pada sidang akan datang.

Ia digelar “RUU Hudud” oleh sesetengah ahli politik kerana hukuman jenayah yang dicadangkan termasuk hukuman berkaitan hudud.

Bagaimanapun, RUU itu dilakukan agar bidang kuasa Mahkamah Syariah dipertingkatkan dalam hukuman jenayah kecuali hukuman mati.

Tambah Hamid, jalan untuk Umno dan PAS bekerjasama dalam isu hudud lebih terbuka apabila Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia dan terkeluarnya kumpulan Mohamad Sabu daripada parti Islam itu.

“Majoriti orang Melayu dan Islam pun suka melihat kedua-dua parti itu bekerjasama. Umno tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan PAS. Ia tidak ada masalah ideologi.

“Modal politik PAS paling besar adalah hudud. Hudud adalah janji politik yang murah (tidak perlu mengeluarkan apa-apa perbelanjaan untuk menunaikannya dan ia meraih undi),” katanya.

Jelasnya, apa yang lebih penting ialah hakikat yang persetujuan dalam hal ini akan membuka jalan bagi Umno dan PAS bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 untuk menyelamatkan kerajaan yang ada di peringkat persekutuan.

Hadi sebelum ini juga berkata, tidak ada jaminan RUU itu akan mendapat sokongan daripada ahli Parlimen Umno, DAP atau PKR.

RUU itu memerlukan 112 undi untuk diluluskan dengan majoriti mudah. Umno (86) dan PAS (14) mempunyai 100 kerusi, manakala 24 wakil rakyat pembangkang beragama Islam iaitu PKR (16), Amanah (6) dan DAP (2).

Pindaan Perlembagaan memerlukan majoriti dua pertiga atau 148 undi. Terdapat 130 wakil rakyat beragama Islam di Dewan Rakyat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-