Thursday, October 20, 2016

Sedih Jamal ditahan, 100 penyokong berkumpul di IPD Dang Wangi

Faida Rahim -

Himpunan solidariti itu berlangsung dalam keadaan aman dan tiada kekecohan berlaku.
KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 orang berkumpul di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, malam ini, bagi menyokong Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Jamal Yunos yang direman 2 hari.

Himpunan solidariti itu berlangsung dalam keadaan aman dan tiada kekecohan berlaku.

Setiausaha Jamal, Durrany Izam berkata, semua penyokong gerakan Baju Merah itu akan berhimpun semula, esok, bagi menyambut pembebasan Jamal.

“Walaupun berada dalam keadaan sedih, kita akan terus memberi sokongan kepada Jamal. Biarpun beliau berada di dalam, kami akan tetap menanti dengan sabar,” katanya kepada FMT.

Jamal ditahan polis Bukit Aman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kira-kira jam 8.30 pagi tadi, setibanya dari Dubai, sebelum dibawa ke IPD Dang Wangi.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, Seksyen 500 dan 503 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), kerana disyaki memuat naik kenyataan berbaur hasutan ke Facebook dan insiden membabitkan penyokong Baju Merah dan Bersih 5 di Sabak Bernam, baru-baru ini.

Catatan bertarikh 21 September lalu itu berbunyi: “Saya berjanji tragedi 13 Mei akan berulang dan parang terbang akan terjadi jika Bersih 5 dibuat pada masa, tarikh dan tempat yang sama dengan perhimpunan #Bersih5 yang dijadualkan pada 19 Nov ini. Hidup Melayu!”

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan tindakan tegas dan segera, kerana “kenyataan menghasut sebegini tidak boleh diterima”.

Jamal bagaimanapun menafikan akaun Facebook itu miliknya dan mendakwa DAP sebagai dalang yang membuka akaun palsu menggunakan namanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-