Wednesday, October 26, 2016

Shahrir selar 2 bekas menteri bangkit isu 1MDB tak berpendirian

Bernama  :

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional berkata mereka seharusnya mempunyai prinsip tersendiri dan bukannya bersifat populis kerana mahu menentang BN.
KUALA LUMPUR: Dua bekas menteri yang membangkitkan rasa tidak puas hati mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada persidangan Dewan Rakyat kali ini disifatkan sebagai individu yang tidak berpendirian tetap.

Ahli Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, semasa memegang jawatan menteri, tidak pernah membantah, sebaliknya bersetuju dengan pelaksanaan pelan rasionalisasi 1MDB.

“Soal rasionalisasi 1MDB diputuskan Kabinet dan ketika itu Shafie menjadi menteri yang bersetuju kepada pelan itu… tapi kenapa masa itu tiada bantahan.

“Saya pernah jadi menteri, selepas itu calon bebas bertanding lawan BN, tetapi dalam kempen saya tidak mengungkit apa perkara yang saya bersetuju bersama,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Shahrir yang juga pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) berkata mereka seharusnya mempunyai prinsip tersendiri dan bukannya bersifat populis kerana mahu menentang Barisan Nasional (BN).

Shafie, ahli Parlimen Semporna yang juga bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah mempersoalkan beberapa keputusan kerajaan berhubung 1MDB ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Husni iaitu ahli Parlimen Tambun yang juga bekas menteri kewangan kedua turut membangkitkan isu sama selain menggesa kerajaan menguruskan ekonomi negara lebih cekap dan telus.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata Husni dan Shafie sepatutnya memberi tumpuan membincangkan kelemahan dasar dan bukannya soal pelaksanaan kerajaan semata-mata.

“Dalam Islam, pemimpin salah ditegur, bukan buang… 1MDB pada pokoknya adalah amat baik, tetapi bermasalah dalam pelaksanaannya.

“Soal pelaksanaan dalam konteks 1MDB sekarang ada proses tertentu (untuk penambahbaikan) yang tengah berjalan, kedua-dua mereka perlu menunjukkan kematangan dalam perkara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-