Sunday, October 23, 2016

Tak berkesan tangani kos sara hidup

SALWANI MD ZAIN
23 OKTOBER 2016
SHAH ALAM - Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat kelmarin, dilihat kurang kukuh dalam meningkatkan pertubuhan dan daya tahan ekonomi yang boleh memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Yusof Saari berkata, terdapat beberapa perkara menyebabkan objektif itu gagal.

Menurutnya, sebanyak 82 peratus daripada peruntukan bajet itu untuk perbelanjaan pengurusan, manakala hanya 18 peratus diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan.

“Sepatutnya dalam keadaan ekonomi sederhana seperti sekarang, kerajaan perlu tingkatkan perbelanjaan pembangunan kerana ia pelaburan jangka masa panjang yang memberi kebaikan kepada generasi berikutnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Hal itu katanya, pengurangan cukai masa kini bermaksud kenaikan cukai masa hadapan.

"Begitu juga hutang hari ini akan dibayar pada masa hadapan oleh generasi berikutnya. Jika hutang masa kini digunakan untuk pelaburan, maka ia beri kebaikan kepada generasi akan datang," katanya.

Selain itu katanya, usaha-usaha ke arah mempelbagaikan ekonomi dan mencari potensi pertumbuhan baharu tidak diberi keutamaan.

“Hampir satu pertiga Keluaran Dalam Negeri Kasar dijana daripada industri berasaskan minyak sawit dan petroleum. Usaha pelbagaikan ekonomi dan cari sumber pertumbuhan baru sangat penting bagi memastikan ekonomi tidak terdedah kepada faktor luaran seperti kejatuhan harga komoditi,” katanya.

Jelas Mohd Yusof, struktur pasaran pengeluaran makanan di Malaysia bersifat oligopolistik, namun tiada usaha untuk mengubah struktur pasaran tersebut.

“Bekalan input dikawal secara langsung dan tak langsung oleh firma. Jika kerajaan laksanakan liberalisasi pasaran dengan galakkan persaingan, ia akan membantu usaha mengurangkan tekanan kos hidup melalui penurunan harga,” katanya.

Beliau berkata, langkah perlu diberi perhatian adalah mekanisme Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Saya terkejut bila BR1M dinaikkan, sepatutnya ia diperkemaskan. Saya jangka BR1M kalau diteruskan pun, jumlah itu dikekalkan ataupun dikurangkan sedikit memandangkan keadaan ekonomi ketika ini.

“Agihan itu perlu mengikut latar belakang sosio-ekonomi isi rumah. Jadikan ia sebagai reward bagi menaikkan semangat rakyat untuk bina sebuah keluarga cemerlang, mampu didik anak-anak ke universiti contohnya, bukan menunggu dan berpeluk tubuh, lalu dapat wang BR1M, produktiviti rakyat akan hilang, maka lahirlah golongan malas dan tunggu wang bantuan,” katanya.

Jelasnya, Bajet 2017 juga tiada 'model' atau mekanisme holistik bagi mengurangi beban kos hidup melalui pengawalan harga makanan.

"Saya jangka tahun depan harga makanan terus naik kerana inisiatif Bajet 2017 tidak terarah isu sebenar iaitu struktur pasaran,” katanya.

Namun katanya, ada beberapa inisiatif masih membantu rakyat dan pelajar contohnya isu agihan Baucar Buku 1Malaysia ditukar kad debit.

“Rakyat berpeluang menjana pendapatan sebagai pemandu Uber, itu satu cara bagus,” katanya.

Dalam soal pendidikan, katanya penekanan hanya di peringkat sekolah rendah dan menengah, untuk universiti tidak begitu difokuskan termasuk bantuan penuntut.

"Target pendidikan rendah sama sahaja bajet tu dengan tahun lepas, peruntukan universiti penyelidikan diminta dari tahun lepas.

"Bagi saya bajet ini tidak berkesan untuk mengurangi kos sara hidup, jika ada pun cukup minimum," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-