Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, November 20, 2016

Armand, Chuan How antara yang terakhir ditahan

Foto armandpju.blogspot.com
KUALA LUMPUR - Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifa dan Adun Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How merupakan antara 17 individu ditahan sempena perhimpunan haram, Bersih 5 dan Baju Merah, di ibu negara, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, Armand Azha selaku pemimpin kumpulan Baju Merah dan Chuan How sebagai aktivis Bersih 5, ditahan di bawah Seksyen 147/511 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, 15 pemimpin daripada kedua-dua kumpulan itu termasuk Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah dan ketua kumpulan Baju Merah,

Datuk Seri Jamal Md Yunos ditahan pada semalam dan hari ini.

Dalam pada itu, Amar Singh berkata, sebanyak 28 laporan polis dibuat iaitu 20 laporan tangkapan dan lapan laporan amm dan empat kertas siasatan dibuka sepanjang perhimpunan termasuk di bawah Seksyen 147/511 Kanun Keseksaan kerana berhasrat mencetus rusuhan, pecah keamanan dan menggugat ketenteraman awam.

Katanya, tiga lagi kertas siasatan dibuka membabitkan tangkapan ke atas peserta perhimpunan berusia antara 33 hingga 49 tahun kerana kesalahan menggunakan drone semasa perhimpunan itu, memiliki senjata parang dan buku lima, dan mendatangkan kecederaan kepada peserta lain.

Amar Singh berkata sepanjang perhimpunan itu juga turut dikesan peserta yang membawa kanak-kanak dan perbuatan tersebut adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 4(2)(f) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan menurutnya tindakan lanjut akan diambil.

Menjelas lanjut, beliau berkata perhimpunan Bersih 5.0 dan Himpunan Baju Merah berlangsung seperti yang dirancang dan dijadualkan oleh penganjur masing-masing walaupun larangan telah dikeluarkan oleh pihak polis sebelum ini.

"Tidak dinafikan juga berlaku kesesakan lalu lintas luar biasa kerana peserta perhimpunan berkumpul dan berarak di jalan-jalan raya," katanya.

Katanya, kumpulan Baju Kuning berkumpul di Dataran Maybank, Stesen LRT Bangsar, Masjid Negara, Sogo, Tun Perak dan berarak menuju ke Dataran Merdeka.

"Himpunan Baju Merah pula berkumpul di sekitar PWTC, Jalan Raja Laut, Sogo dan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan kumpulan ini berarak ke Padang Merbok setelah diarahkan pasukan polis," katanya.

Amar Singh menganggarkan lebih kurang 15,500 peserta Baju Kuning hadir ke perhimpunan ini, manakala hanya lebih kurang 2,500 orang hadir berhimpun dengan memakai Baju Merah.

Katanya, sehingga pukul 6 petang ini, suasana di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di Dataran Merdeka terus terkawal dan peserta perhimpunan telah bersurai.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengucapkan tahniah kepada anggotanya yang berjaya menjaga keamanan dan keselamatan sepanjang perhimpunan hari ini.

"Warga Polis Diraja Malaysia telah mempamerkan sifat kesabaran dan profesionalisme yang amat terpuji dalam melaksanakan tugas hari ini," katanya menerusi catatan di akaun Twitternya. 

- Bernama