Tuesday, November 8, 2016

Rakyat lebih mempercayai laporan berita menerusi laman sosial ......

Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengakui rakyat Malaysia pada masa ini lebih mempercayai laporan berita menerusi laman-laman sosial seperti portal berita berbanding akhbar konvensional.

"Penyebarannya (media sosial) terlalu pantas, sukar dikawal dan laporan sedemikian kelazimanannya akan menarik perhatian umum," kata ketua Umno bahagian Cheras itu dalam blognya.

Justeru, ujarnya, para pemimpin Umno perlu lebih berhati-hati dalam memperkatakan atau memberi ulasan berhubung sesuatu isu politik kerana dikhuatiri akan memberi kesan buruk kepada parti.

"Kadangkala pemimpin seronok bercakap dan berhujah menyerang pihak lawan tanpa berhati-hati dan tanpa disedari juga kesannya akan terpalit kepada Umno dan memberi ruang kepada pihak lawan untuk menyerang balas," tegasnya.

Situasi sebegini dikhuatiri hanya akan menambah kebencian sesetengah pihak terhadap Umno dan jika berpanjangan boleh mempengaruhi sikap pengundi pada pilihan raya umum akan datang, jelas beliau.

Kenyataan Syed Ali itu sejajar dengan kerisauan yang pernah dizahirkan oleh Persatuan Perdagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) kira-kira enam bulan yang lalu.

Presiden Perdasama, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, pihaknya bimbang dengan budaya membaca surat khabar yang makin berkurangan dan menyumbang kepada penurunan jualan media itu sehingga 30 peratus.

Ini terjadi dipercayai ekoran kesan sikap kebergantungan dengan maklumat-maklumat melalui penggunaan alat komunikasi seperti komputer dan telefon pintar, katanya.

Laporan oleh Biro Audit Pengedaran (ABC) juga menunjukkan jualan surat khabar di Malaysia menunjukkan kemerosotan antara bulan Januari hingga Jun 2015 berbanding tempoh yang sama dua tahun sebelumnya.

Pada masa yang sama, ABC turut menunjukkan bahawa penggunaan media digital yang mencatatkan peningkatan sebanyak 148 peratus untuk tempoh dua tahun berakhir 2015 berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Mengulas lanjut, Syed Ali yang juga setiausaha badan perhubungan Umno Wilayah Persekutuan berkata, secara jujurnya, pemimpin Umno perlu mencari kaedah yang lebih berkesan untuk meyakinkan rakyat betapa pemimpin parti sentiasa komited terhadap permasalahan mereka.

"Kita ada lebih 190 bahagian Umno, cuba bayangkan jika setiap bahagian mempunyai jentera sibernya, saya percaya dengan kemampuan tersebut kita boleh melenyapkan pihak musuh (pembangkang).

Katanya lagi, dengan jentera melebihi 190 bahagian tentera siber Umno dilihat lebih daripada berkemampuan untuk mempertahankan kedudukan Presiden dan Timbalan Presiden parti daripada menjadi serangan pihak musuh.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-