Wednesday, November 23, 2016

Felda ambil tindakan atas Laporan Ketua Audit Negara

NURUL KHALEEDA RASHIKIN
22 NOVEMBER 2016
Mohd Isa Abdul Samad
SHAH ALAM - Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad berkata isu yang dibangkitkan Laporan Ketua Audit Negara siri dua sebelum ini telahpun diambil tindakan pihaknya.

Menurutnya, diantara perkara yang dibangkitkan itu di dalam pengetahuan Felda juga telah mengambil tindakan dengan menghentikan operasinya dan individu yang terlibat akan dikenakan tindakan tatatertib.

“Langkah-langkah pembetulan sedang dilaksanakan. Terdapat perlaksanaan dan perjalanan operasi syarikat subsidiari yang tidak dilaporkan serta tidak mendapat kelulusan pengarah syarikat serta Ahli Lembaga Felda.

"Ini menyebabkan berlakunya ketidakpatuhan dan pelanggaran tataurus syarikat dan peraturan-peraturan Felda,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, Felda dilaporkan mengalamai kerugian jutaan ringgit disebabkan kelemahan perancangan dan pelaksanaan projek pemerolehan perkhidmatan pengumpulan data LiDAR atau Light Detection and Ranging, projek jalur lebar serta tiga projek lain.

Dalam laporan itu, turut menyatakan audit yang dijalankan antara Januari dan Jun tahun ini, mendapati perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan pengurusan projek oleh Felda dan subsidiarinya tidak memuaskan serta tidak mencapai objektif yang ditetapkan.

Katanya lagi, Lembaga Felda dan juga lembaga pengarah subsidiari tersebut merupakan dua entiti yang berbeza.

“Lembaga Felda ialah pihak yang mengawal seluruh Felda dan dipengerusikan oleh saya sendiri.

“Syarikat subsidiari pula menjalankan perniagaan dan dianggotai dan dipengerusikan individu yang berbeza,” tambahnya.

Jelasnya lagi, hanya tiga projek yang terlibat berdasakan laporan audit tersebut iaitu Pengurusan Projek Lidar, Pengurusan Projek Jalur Lebar dan Pengurusan Projek Syarikat Subsidiari Felda.

“Felda juga telah melantik juru audit luar untuk melaksanakan kajian ‘position view’ ke atas ketiga-tiga projek tersebut.

“Susulan itu, Lembaga Felda telah meluluskan perlantikan firma guaman untuk melaksanakan ‘legal review’

“Justeru, penemuan ‘positon review’ serta ‘legal review ‘ ini akan dibentangkan ke Lembaga Felda untuk diambil tindakan sewajarnya,” katanya lagi.

Beliau juga turut melantik ahli lembaga pengarah yang baru di syarikat subsidiari yang terlibat menggantikan orang terdahulu dalam meneruskan hala tuju dan kesinambungan syarikat tersebut.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa Felda sentiasa berpegang kepada tadbir urus yang baik dan mana-mana individu yang terlibat dalam salah laku (sekiranya ada) akan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-