Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Thursday, November 24, 2016

MCA kekal tidak sokong RUU persendirian dibawa Abdul Hadi - Liow

Harits Asyraf Hasnan dan Wan Syamsul Amly, Astro Awani


LIOW: MCA hanya akan menyokong jika ia rang undang-undang kerajaan.

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai menteri jika Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan Rang Undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) dan ia diluluskan di Dewan Rakyat.

Malah, beliau menegaskan pihaknya kekal dengan pendirian untuk tidak menyokong usul persendirian yang dibawa Abdul Hadi.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan menyokong usul tersebut jika dibawa oleh Kerajaan.

“Saya telahpun katakan sebelum ini. Pendirian MCA sangat jelas iaitu kami tidak boleh menyokong rang undang-undang persendirian, sama ada pindaan atau tidak, ia tetap rang undang-undang persendirian. Kami tidak akan menyokong.

“MCA hanya akan menyokong jika ia rang undang-undang kerajaan, dan bukannya rang undang-undang persendirian,” ujar Liow.

Beliau menjelaskan bahawa RUU yang akan dibentangkan Abdul Hadi diibaratkan sebagai satu jalan untuk Mahkamah Syariah melaksanakan hukuman hudud di seluruh negara.
Beliau berkata, MCA merasakan RUU tersebut adalah bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, ia tidak boleh dibahas dan diluluskan di Parlimen.