Monday, November 7, 2016

Najib di Parlimen, tapi tak hadir bahas, undi Bajet 2017

Zikri Kamarulzaman  :  
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hadir di Parlimen hari ini, tetapi tidak mengikuti penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan atau Bajet 2017 dan meninggalkan dewan sebelum pengundian dijalankan.

Najib tiba ketika Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani mengakhiri perbahasan peringkat dasar, pada kira-kira 8.40 malam tadi.

Beliau dilihat melalui pintu utama yang menuju ke Parlimen tetapi tidak berada di Dewan Rakyat.

Adalah dipercayai bahawa beliau sebaliknya menuju ke kamar Speaker.

Semasa perbahasan, Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) secara terbuka mencabar Najib untuk hadir dan menjawab soalan-soalan mengenai 1MDB dan ‘derma’ RM2.6 bilion yang diterimanya.

"Mana PM? Mengapa dia bersembunyi di sana (kamar Speaker)? "soal Gobind meminta penjelasan.

Gobind ingin tahu status siasatan polis ke atas 1MDB, serta kepada siapa Najib memulangkan wang AS$620 juta daripada AS$681 juta yang didakwa diterimanya sebagai derma.

Johari gagal menjawab soalan berhubung siasatan itu, dan berkata ia masih dalam siasatan, sementara beliau tidak menyentuh soalan mengenai sumbangan ‘derma’ berkenaan.

Tidak lama kemudian, Najib kelihatan bergegas meninggalkan Parlimen. Pada ketika itu, Johari baru mengakhiri ucapan penggulungannya dan ini disusuli dengan undian belah bahagian atau secara blok.

Bajet kemudiannya diluluskan pada peringkat jawatankuasa, dengan 117 undi menyokong dan 70 undi menentang.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata 11 ahli parlimen tidak mengundi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-