Thursday, November 3, 2016

Parti politik baharu adalah 'virus' perpecahan - Sultan Ibrahim

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah ‘virus’ perpecahan yang datang ke negeri ini berpunca dari parti politik baharu dan ahlinya yang menjadi penyebar sehingga menghentam kerajaan serta menghasut rakyat membenci pemimpin.

Titah baginda, apabila rakyat dijangkiti virus itu kehidupan rakyat dan kemakmuran negara akan musnah kerana ia amat merbahaya dan sukar diubati.

“Ingin saya ingatkan mengenai satu penyakit sedang datang ke Johor akibat sejenis virus yang amat merbahaya, lebih teruk daripada Zika kerana tiada penawarnya. Virus yang saya maksudkan adalah virus perpecahan.

“Virus ini datang daripada parti politik baharu dan ahlinya menjadi penyebarnya. Oleh itu, saya berharap rakyat menjauhkan diri daripada virus ini.

“Gunakan akal fikiran dan jangan menyesal kemudian hari. Pembawa virus ini akan menghentam kerajaan setiap hari dan menghasut rakyat supaya membenci pemimpin, tetapi kebaikan yang dibuat kerajaan semua mereka tak nampak,” titah baginda.

Baginda bertitah ketika menghadiri majlis Himpunan Bangsa Johor yang diadakan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, apabila agenda atau hasrat mereka (parti politik baharu) tidak tercapai, mereka akan biarkan masyarakat hidup dalam keadaan yang menderita.

“Saya bercakap sebagai orang tua atau seorang bapa yang cintakan perpaduan dan mahu rakyat saya hidup dengan aman dan damai. Saya tidak mahu melihat rakyat saya berpecah.

“Saya benci kepada individu yang mempunyai agenda tersendiri, menghasut rakyat untuk bergaduh sesama sendiri. Apabila perpecahan berlaku, kehidupan rakyat akan menjadi susah dan pada waktu itu, janganlah toleh kepada saya,” titah baginda.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-