Monday, November 28, 2016

Penyertaan Bersatu diputuskan 13 Disember

Salahuddin Ayub
GEORGETOWN - Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pakatan Harapan dijangka diputuskan pada 13 Disember depan.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan yang diadakan setiap bulan bagi membincangkan gerak kerja gabungan parti pembangkang itu.

"Saya yakin kami akan bermesyuarat tentang hasrat (Pengerusi Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad untuk Bersatu diterima dalam keluarga Pakatan Harapan.

"Saya yakin dan percaya bahawa tidak ada masalah untuk menerima Bersatu menjadi satu lagi parti (gabungan) dalam Pakatan Harapan menjadikan empat parti iaitu Amanah, DAP, PKR dan Bersatu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pertama Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Beliau berkata Tun Dr Mahathir sendiri menyatakan bahawa Bersatu tidak mahu menyertai Pakatan Harapan sebagai 'pakatan plus-plus' sebaliknya mahu diterima sebagai satu keluarga dalam pakatan.

Pada Konvensyen Pakatan Harapan di Shah Alam 12 November lepas Dr Mahathir dilaporkan berkata, pihaknya akan menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu sebelum menyertai pakatan tersebut termasuk menjadikan pakatan itu sebagai satu entiti.

Sementara itu pada konvensyen itu juga Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata walaupun secara dasarnya Bersatu bersetuju untuk menyertai pakatan pembangkang itu, tetapi kepimpinan kanan parti serpihan Umno berkenaan memerlukan masa untuk berbincang lebih lanjut mengenai penyatuan itu.

Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-