Monday, November 28, 2016

Tangani cubaan halang pindaan Akta 355

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 NOVEMBER 2016
Nasrudin Hassan
SHAH ALAM - Himpunan 355 anjuran Pas akan melibatkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, ia bagi mencetuskan kesedaran tinggi dalam kalangan umat Islam dan memberi pemahaman kepada masyarakat bukan Islam agar memberi sokongan ke arah memartabatkan mahkamah syariah.

“Sokongan umat Islam tanpa mengira latar belakang parti politik, NGO, pendidikan, kaum, bangsa dan bahasa lidah. Demikian juga bukan Islam yang memahami bahawa ini adalah hak yang mesti dipulangkan kepada umat Islam.

“Adalah suatu yang sangat penting untuk berdepan dengan provokasi, ugutan dan ancaman melampau.

"Ia (cabaran) datang dari pihak tertentu yang mahu menggagalkan hasrat pindaan Akta 355 dengan pelbagai tohmahan dan fitnah yang jahat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Baru-baru ini. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, satu himpunan umat Islam besar-besaran secara tertib dan aman diadakan sebelum Mac tahun hadapan.

Perhimpunan bertujuan menjelaskan sebab pindaan Akta 355 dilakukan dan sekali gus meraih sokongan umat Islam terhadap pindaan tersebut.

Nasrudin berkata, Pas akan menubuhkan Sekretariat Himpunan 355 ini pada minggu hadapan yang mewakili parti politik, NGO, aktivis masyarakat dan tokoh individu.

"Sekretariat ini akan mengadakan sidang media khas sebaik sahaja ia ditubuhkan kelak bagi menjelaskan perkara yang perlu kepada umum.

"Sekretariat ini akan menetapkan tarikh dan tempat Himpunan 355 tersebut serta menggariskan objektif dan pelan bertindak bagi memastikan ia berjaya dilangsungkan dengan cemerlang kelak," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-