Wednesday, November 16, 2016

Umno tak halang ahli sertai himpunan Sabtu ini

SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
ANNUAR MUSA
KUALA LUMPUR - Umno tidak akan menghalang sekiranya ada ahli parti itu mahu menyertai perhimpunan baju merah yang dianjurkan serentak dengan Bersih 5, Sabtu ini.

Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata, bagaimanapun ahli yang terlibat perlu menanggung risiko dan bertanggungjawab jika berdepan tindakan undang-undang.

"Akar umbi Umno ada yang tak gembira dengan Bersih dan mungkin nak sertai baju merah. Itu pilihan peribadi mereka.

"Apa yang saya tahu kedua-dua perhimpunan haram dan tak dibenarkan oleh polis. Jadi sesiapa nak pergi mereka kena bertanggungjawab sendiri," katanya kepada media di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Menurut Annuar, Umno juga tidak akan mengambil tindakan atau menetapkan peraturan berhubung penyertaan ahlinya dalam perhimpunan tersebut.

"Kalau pembangkang pun tak kenakan tindakan terhadap ahlinya yang sertai Bersih, kenapa Umno nak ambil tindakan jika ada ahli sertai baju merah? Kita tak boleh halang orang untuk buat apa yang mereka mahu.

"Ikut peringkat individu mereka boleh sertai himpunan tetapi di peringkat organisasi kita tak bincang. Jika polis pun tak boleh halang, takkan saya sebagai Ketua Penerangan Umno boleh halang," katanya.

Mengulas mengenai surat mesyuarat penyelarasan ahli Umno Melaka ke perhimpunan baju merah yang diviralkan, Annuar berkata, beliau tidak pasti kesahihan surat itu.

"Saya dah lihat dan baca surat itu tetapi tak boleh sahkan ia betul atau tidak. Saya juga tak tahu apa hasil perbincangan atau keputusan mesyuarat tersebut, " katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-