Wednesday, December 14, 2016

Anwar kekal dipenjara lima tahun

NORLIZAH ABAS
14 Disember 2016 11:07 AM
ANWAR Ibrahim tiba di Mahkamah Persekutuan Putrajaya jam 9.26 pagi hari ini bagi mendengar permohonan semakannya terhadap hukuman penjara lima tahun kerana meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan. - UTUSAN ONLINE/ZAKI AMIRUDDIN

PUTRAJAYA 14 Dis. - Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal dipenjara lima tahun kerana meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakannya.

Bekas Ketua Pembangkang itu gagal mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tersebut yang dikekalkan oleh satu panel lain pada 10 Februari tahun lalu. Setakat ini, beliau telah menjalani hukuman penjara setahun 10 bulan.

Panel lima hakim mahkamah tertinggi negara diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin mencapai keputusan sebulat suara itu selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak pada 12 Oktober lalu.

Pada peringkat ini, keputusan tersebut menoktahkan perjalanan kes liwat II wakil rakyat pembangkang itu yang berlarutan selama lapan tahun bermula dengan laporan polis yang dibuat oleh bekas pembantu peribadinya pada 28 Jun 2008.

Yang turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim. Bagaimanapun Hakim Malanjum tidak hadir hari ini kerana kematian ibu saudaranya.

Hakim Zulkefli ketika membacakan penghakiman itu antara lain menyatakan permohonan itu tiada merit dan tidak sempurna yang membolehkan mahkamah menggunakan budi bicaranya menyemak keputusan itu.

Anwar, 69, diwakili oleh pasukan peguam bela diketuai oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid mengetuai pasukan pendakwaan.

Beliau memohon menyemak dan mengetepikan keputusan panel terdahulu yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 kerana meliwat bekas pembantu peribadinya.

Anwar disabitkan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 31, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara di antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.


- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/anwar-kekal-dipenjara-lima-tahun-1.419838#sthash.buqudKZ4.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-