Wednesday, December 14, 2016

Dewan Ulama: PH - PPBM pasti bercakaran, perlu PAS lawan BN

Mohamad Fadli and Adam Abu Bakar

Khairuddin berkata, PAS masih kuat serta gagah dan tidak akan terjejas walaupun tidak menyertai PH atau membentuk gabungan pilihan raya dengan parti pembangkang lain.
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan ‘bercakaran’ sesama sendiri walaupun sudah membentuk gabungan pilihan raya dan mereka memerlukan PAS untuk merealisasikan pertandingan satu-lawan-satu dengan Barisan Nasional, kata ketua penerangan Dewan Ulama PAS.

Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, gabungan pilihan raya yang dibentuk antara PH dan PPBM semalam lebih kepada pembahagian kerusi untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Gabungan itu hanya akan menambah kekalutan dalam PH. Realitinya rundingan mereka rundingan (menentukan) kerusi.

“Yang pasti mereka akan berebut kerusi. Berdasarkan pengalaman (PAS) sewaktu bersama PR, PKR dan DAP paling kedekut kerusi. PAS paling pemurah. Kerusi Melayu jadi rebutan Amanah, PKR dan PPBM,” katanya kepada FMT.

PH dan PPBM menandatangani memorandum persefahaman gabungan pilihan raya semalam. Bagaimanapun, PPBM belum menyertai PH secara rasmi sekalipun mendakwa mereka berkongsi perjuangan dan prinsip sama dengan blok pembangkang.

Khairuddin berkata, PAS masih kuat serta gagah dan tidak akan terjejas walaupun tidak menyertai PH atau membentuk gabungan pilihan raya dengan parti pembangkang lain.

“Di sini menggambarkan kecerdikan PAS dalam politik. Tidak boleh ikut orang. Sampai masa, parti lain ikut PAS.

“Mereka (parti pembangkang) kena terima hakikat pembangkang paling kuat ialah PAS. Ini kerana majoriti rakyat Malaysia ialah Melayu dan parti Islam paling kuat selepas Umno ialah PAS. Pemimpin masa ini pun sedar PAS merupakan parti yang kuat dan gagah.”

Katanya, tidak rugi parti itu bersendirian kerana mereka masih mempunyai undi teras berbanding parti pembangkang lain yang mengharapkan undi protes daripada pengundi Umno tidak berpuas hati dengan kerajaan.

“Kalau nak ikut PAS kena terima cara dan syarat kita. PAS tidak perlukan parti lain pun untuk bergerak. Maka, sesiapa yang berminat dengan PAS, dia kena bersama Gagasan Sejahtera.

“Pertandingan 3 penjuru pasti berlaku. Satu pembohongan sahaja nak satu-lawan-satu dengan Umno. Realiti semua kemaruk nak kerusi,” katanya sambil menambah PAS konsisten menggerakkan Gagasan Sejahtera.

Semalam, ahli DAP, Dr Abdul Aziz Bari dilaporkan berkata, PAS dilihat tidak lagi mampu bertahan di Selangor dan keengganan parti Islam itu menyertai PH hanya merugikan mereka sendiri.

Katanya, rancangan PAS membentuk blok politik berasingan tanpa musuh ketat, Amanah dan DAP juga tidak akan mendatangkan masalah kepada PH.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abd Samad berkata, gabungan pilihan raya PH dan PPBM tidak lengkap tanpa parti Islam itu.

“PAS bukan parti kecil, PAS mempunyai ramai ahli. Sebarang persefahaman pilihan raya tanpa PAS adalah tidak lengkap.

“PPBM tidak masuk PH, tetapi hanya tandatangani MoU, iaitu bersetuju 1 calon mewakili PPBM dan PH. PAS masih boleh berunding dan bekerjasama dengan PPBM,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-